Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jumlah mangsa banjir K'tan naik mendadak
Diterbitkan:  Dec 20, 2014 9:56 AM
Dikemaskini: 3:40 AM

Keadaan banjir di ketiga-tiga negeri di pantai timur Semenanjung masih belum reda dan jumlah mangsa banjir di tujuh jajahan di Kelantan meningkat mendadak pagi ini kepada 18,812 orang berbanding 15,002 mangsa, malam tadi.

Di Kota Bharu, menurut portal banjir kerajaan negeri pada 8.30 pagi ini, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat berikutan penambahan mangsa banjir di jajahan Tumpat berikutan limpahan air Sungai Golok yang masih melepasi bahaya.

    

Keseluruhan pusat pemindahan di tujuh jajahan itu kini bertambah kepada 83 pusat berbanding 77 malam tadi.

Di Pasir Mas masih menempatkan jumlah terbesar mangsa banjir iaitu 10,599 orang yang ditempatkan di 37 pusat pemindahan berbanding malam tadi melibatkan 7,594 orang di 31 pusat.

Jajahan Tumpat pula menempatkan 3,115 orang di enam pusat pemindahan berbanding malam tadi 2,174 di jumlah pusat yang sama.

Di Kuala Krai sebanyak 2,865 orang ditempatkan di 11 pusat pemindahan, Kota Bharu (761 orang/enam pusat), Pasir Puteh (619 orang/empat pusat), Tanah Merah (551 orang/11 pusat) dan Machang (302 orang/lapan pusat).

Cuaca yang agak baik sejak dua hari lalu menyebabkan paras air di beberapa batang sungai utama terus menyusut kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang yang mencatatkan bacaan 10.28 meter melepasi bahaya 9 meter.

Keadaan banjir di Rantau Panjang juga tidak banyak berubah yang sebahagian besar kawasan itu masih digenangi air.

Sejak banjir gelombang kedua melanda Kelantan pada 16 Dis lalu, empat kematian akibat banjir direkodkan iaitu masing-masing di Tanah Merah, Tumpat, Kuala Krai dan Kota Bharu.

Terbaharu seorang remaja lelaki, Che Muhammad Anuar Che Hassan, 17, yang menghidap penyakit sawan ditemui lemas dalam kejadian 7.10 pagi, selepas terjatuh dalam air banjir di hadapan rumahnya di Kampung Teluk Jering di Tumpat, semalam.

Mayatnya ditemui kira-kira tiga minit selepas mangsa terjatuh.

Tiada jalan utama yang ditutup kepada kenderaan kecuali jalan Kota Bharu ke Pantai Cahaya Bulan di Kampung Tikat di sini yang masih ditutup kepada kenderaan ringan.

Cuaca di Kelantan pada sebelah pagi ini hujan renyai yang sesekali lebat di keseluruhan jajahan.

Di Kuala Terengganu, menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, keadaan banjir di Terengganu tidak menunjukkan sebarang perubahan besar pagi ini dengan jumlah mangsa dicatatkan 8,587 orang berbanding 8,659 malam tadi.

Besut kekal mencatatkan mangsa pemindahan terbanyak iaitu 3,235 orang, ini diikuti Dungun 2,132 orang dan Kemaman 1,925 mangsa.

Hulu Terengganu yang merupakan paling teruk terjejas banjir, kini kembali pulih apabila jumlah mangsa berkurangan kepada 950 orang di 15 pusat penempatan.

Di daerah Kuala Terengganu pula, 43 orang ditempatkan di tiga pusat pemindahan, Marang (21 orang/satu pusat) dan Setiu (290 orang/tiga pusat).

    

Bahagian Hidrologi Bilik Gerakan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu melaporkan sehingga 8 pagi tadi, ketinggian paras air Sungai Dungun di Kuala Jengai melepasi tahap bahaya 21.6 meter (bahaya 21 meter) manakala Sungai Dungun di Jambatan Jerangau merekodkan 13.42 meter (bahaya 12.5 meter).  

Di Kuantan, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata jumlah mangsa banjir di daerah itu berkurangan kepada 1,449 orang daripada 408 keluarga sehingga 9 pagi ini berbanding 1,624 orang daripada 411 keluarga malam tadi.

Abdul Aziz berkata sebuah pusat pemindahan baharu dibuka di Balai Raya Kampung (Kg) Sungai Soi untuk menempatkan empat mangsa daripada satu keluarga selepas kediaman mereka di Kg Sungai Soi dinaiki air.

"Enam pusat pemindahan masih beroperasi dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan masih merekod jumlah mangsa paling banyak iaitu 893 orang daripada 238 keluarga dari Kg Pandan 2, Chendering dan Lubuk Puyu," katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata, hanya satu laluan di Jalan Kampung Air Hitam Seri Damai ditutup kepada semua jenis kenderaan selepas air naik setinggi 4 meter sejauh 100 meter.

Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang mengesahkan tiada pemindahan mangsa banjir di daerah lain.

Dalam pada itu laman web JPS negeri hanya mencatatkan sebatang sungai utama menunjukkan paras air meningkat kepada 21.07 meter yang melepasi paras waspada 20.70 meter di Sungai Pahang di Kg Chenor, Maran.

- Bernama

Lihat Komen
ADS