Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yakin bahawa sebahagian daripada 106 bahagian Umno yang telah bermesyuarat sehingga semalam, yang sebelum ini mahu mencalonkan beliau bagi jawatan presiden, telah dihalang berbuat demikian.

Kenyataan Ku Li dalam sidang media selepas mesyuarat Umno Gua Musang, satu-satunya bahagian yang telah mencalonkannya untuk jawatan tersebut, dianggap sebagai "usaha terakhirnya" untuk mendapatkan pencalonan kerana 65 lagi bahagian Umno akan bermesyuarat hari ini.

Beliau memerlukan 58 pencalonan untuk mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi jawatan presiden parti. Sehingga ini, Abdullah sudah memperolehi 101 pencalonan manakala Datuk Seri Najib Razak mendapat 102 pencalonan untuk jawatan timbalan presiden.

Ku Li yang jelas masih belum berputus asa, berkata beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut atas permintaan akar umbi, tetapi mereka tidak dapat melaksanakan hak mereka kerana tidak dapat "menzahirkan hasrat mereka itu".

Oleh itu, katanya, beliau beranggap walaupun tidak mendapat pencalonan yang mencukupi, tetapi tidak bererti ahli-ahli telah menolak hasratnya untuk "menyedarkan semua pihak bahawa dalam Umno mengenai hak yang diberikan kepada mereka untuk memilih pemimpin".

Menurut Ku Li lagi, ahli-ahli Umno harus diberi peluang dan dibenarkan untuk menggunakan hak mereka memilih kepimpinan parti.

Ditanya sama ada beliau kecewa hanya cawangannya Gua Musang setakat ini yang mencalonkannya, Umno, Kul Li berkata: "Tidak, terpulang kepada ahli-ahli. Mereka tidak sanggup sokong saya atau takut sokong saya, itu hak mereka. Saya tidak akan kecewa."

Sumbangan

Sama ada pencalonan setakat ini juga menunjukkan ahli akar umbi menolak hasratnya bertanding jawatan tersebut, Ku Li berkata: "Jika mereka menolak pencalonan saya, saya menerimanya tetapi sudahkah mereka menolak (tawaran) saya, sedangkan rakan saya mahu mencalonkan saya?"

"Kalau saya bertanding dan jika saya menang, saya bukan bertanding untuk jawatan dalam kerajaan. Saya bertanding untuk jawatan dalam parti. Jangan campuradukkan (antara kedua-duanya)," tambah beliau.

Ditanya mengapa beliau mahu mencabar Abdullah yang berjaya memimpin Barisan Nasional mencapai kejayaan besar dalam pilihanraya umum yang baru lalu, Ku Li berkata:

"Kita tidak mempertikaikannya, sebaliknya kita harus mengucapkan tahniah kepadanya. Tetapi ini tidak bermakna semuanya baik."

Beliau juga menolak anggap sesetengah pemimpin Umno bahawa tindakannya itu seolah-olah tidak menghormati keputusan MT dan akan mengakibatkan perpecahan dalam parti.

"Belum apa-apa kamu kata pecah. Kalau macam itu sampai kiamat tidak ada pertandingan. Saya menghormati MT tetapi MT juga harus hormati hak kita."

Ditanya mengapa beliau mahu bertanding jawatan presiden dan tidak jawatan-jawatan lain dalam parti, Ku Li berkata: "Kenapa? Tak boleh ke? Perlukah saya dapat ilham dulu? Saya kata hendak menyedarkan ahli Umno (tentang hak mereka memilih pemimpin)

"Saya boleh bertanding jawatan pemeriksa kira-kira sekalipun tetapi dengan bertanding jawatan presiden, saya akan menyedarkan mereka..."

Mengenai rancangan masa depannya jika tidak dapat bertanding jawatan presiden, Ku Li berkata beliau masih boleh menyumbang dalam skala yang kecil "sepertimana yang saya lakukan hampir 43 tahun ini".