Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmin arah bekas staf Khalid kembalikan RM2.6j
Diterbitkan:  Jan 3, 2015 4:13 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali mengarahkan bekas kakitangan kepada menteri besar sebelum ini, Tan Sri Khalid Ibrahim mengembalikan pampasan sebanyak RM2.6 juta yang diterima.

Menurut Azmin, pembayaran itu tidak mematuhi beberapa tatacara dan peraturan kewangan berhubung syarat dan kontrak penggajian mereka.

Kata Azmin lagi, bayaran yang sepatutnya diterima mereka akan ditentukan dan hanya akan dibayar selepas wang tersebut dikembalikan.

“Setelah mendapat nasihat pihak peguam, pengurusan baharu memutuskan untuk menghantar surat kepada mereka bagi memberi peringatan supaya mengembalikan semula wang yang dibayar itu.

"Sudah tentulah mereka kena kembalikan semula wang berkenaan kepada MBI dan MBI akan meneliti jumlah kelayakan yang akan dibayar kepada mereka,” katanya seperti dilaporkan portal Selangorkini.

Lapan orang kakitangan Khalid itu diminta mengembalikan bayaran tersebut dalam masa 14 hari dari tarikh surat itu.

Beliau dilaporkan bercakap kepada pemberita selepas majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor hari ini.

Sementara itu, bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) Faekah Hussin berkata beliau akan mengulas perkara berkenaan selepas menerima surat tersebut.

"Saya belum menerima sebarang notis mengenainya dan akan komen apabila tiba waktunya," katanya kepada Malaysiakini.

Satu laporan audit yang oleh Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) pada 3 Disember 2014 mendapati berlaku kesalahan daripada tatacara dan prosedur pembayaran pampasan kepada lapan kakitangan Khalid.

Audit sama juga mendapati terdapat lebihan pembayaran kepada Faekah dan bekas Setiausaha Politik menteri besar, Mustapha Mohd Talib.

Lihat Komen
ADS