Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Harimau dah jadi kucing, sindir Zam
Diterbitkan:  Jan 5, 2015 2:55 PM
Dikemaskini: 6:57 AM

Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin mengesyaki gambar 'diplomasi golf' perdana menteri dan presiden Amerika Syarikat sengaja didedahkan bagi menunjukkan bahawa Malaysia berjaya “dijinakkan”.

Washington Post sebelum ini mendedahkan pertemuan Datuk Seri Najib Razak dan Barrack Obama, yang kemudiannya mengundang kritikan kerana ia berlaku ketika banjir besar melanda Malaysia.

"Gambar golf Najib (dan) Obama itu mungkin didedahkan oleh AS untuk menunjukkan kepada dunia, sekarang Malaysia tidak lagi Asian Tiger (Harimau Asia) tetapi harimau yang telah dapat dijinakkan menjadi Asian Pussy Cat (Kucing Asia)," katanya.

Menulis dalam blognya semalam, Zainuddin ( atas ) berkata tidak mustahil Obama menggunakan kesempatan bermain golf dengan Najib sebagai usaha menekan Malaysia supaya "lebih lunak" kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"... (Ini) kerana AS tidak pernah melupakan jasa kepada orang yang telah berbudi besar kepadanya,” katanya.

Zainuddin juga mengimbau era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini yang menurutnya lantang mempertahan negara dunia ketiga, sekali gus berjaya menggambarkan "keganasan dan kekejaman" Amerika.

"Walaupun Washington menilai Mahathir sebagai seorang yang percaya kuat kepada kapitalisme dan demokrasi ala Malaysia (yang lebih baik dari Singapura) tetapi sebagai kuasa besar dunia, AS merasa amat terhina dengan kepintaran Mahathir dan suara beraninya menggambarkan dengan logik AS sebagai pemeras dan polis dunia yang ganas dan kejam di sebalik wajah kemanusiaannya," kata Zainuddin.

Bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu juga berkata, kemungkinan negara kuasa besar itu kini menilai Najib sebagai pemimpin besar ASEAN yang mereka perlukan.

Pemimpin veteran Umno itu berkata tindakan itu sebagai "rakan strategik" untuk mengimbangi pengaruh China dan Rusia di rantau Asia.

Lihat Komen
ADS