Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

LAPORAN LANGSUNG

10.20am: Peguam kepada Sirul, Kamarul Hisham, mengesahkan bahawa beliau terputus hubungan dengan anak guamnya itu sejak enam bulan lalu.

"Kali terakhir saya dihubungi anak guam saya, mungkin seminggu selepas pendengara di Mahkamah Persekutuan (dari 23 Jun hingga 25 Jun, 2014), selepas itu (saya tidak dapat) menghubungi (Sirul),” katanya.

"Saya tidak tahu langsung di mana dia berada.

"Berdasarkan perhubungan terakhir dengannya, saya langsung tiada asas untuk mengatakan bahawa beliau berkelakuan aneh. Saya ada sebab untuk percaya bahawa beliau akan hadir untuk (keputusan) hari ini,” katanya.

Katanya, beliau tidak akan menyifatkan Sirul “hilang” dan hanya menyebut bahawa bekas anggota elit polis berkenaan tidak berada di mahkamah hari ini kerana gagal menerima notis untuk hadir ke mahkamah.

10.15am : Dalam reaksi segera, pendakwa Tun Abdul Majid berkata pihaknya gembira kes itu telah selesai dan kerja keras mereka berbaloi.

10.02am: Azilah kelihatan berbincang dengan peguamnya, Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar.

Azilah memeluk peguam Kamarul Hisham sebelum dibawa polis ke penjara melalui pintu masuk sisi ruang sidang.

10.00am: Pendakwa Tun Abdul Majid berkata mahkamah akan mengeluarkan waran tangkap terhadap Sirul.

9.56am: Hakim Suriyadi berkata responden gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Mahkamah memerintahkan supaya keputusan Mahkamah Rayuan diketepikan dan mengembalikan hukuman mati," katanya.

Tun Majid meminta waran tangkap dikeluarkan terhadap Sirul.

Hakim Arifin bersetuju untuk mengeluarkan waran tangkap.

9.52am : Hakim Suriyadi berkata Azilah tidak menafikan kehadirannya di Hotel Malaya - hotel di mana mangsa, Altantuya Shaariibuu menginap.

Beliau berkata teman wanita Azilah adalah yang terakhir melihat Altantuya hidup ketika dia meninggalkan mereka (Azilah, Sirul dan Altantuya).

Hakim itu berkata, terdapat kesimpulan bahawa Sirul mengambil barang kemas dari Altantuya.

Sama ada dia mengambilnya sebelum pembunuhan itu atau selepasnya, adalah tidak relevan. kata Hakim Suriyadi.

"Responden pertama (Azilah) berada dengan responden kedua (Sirul) di Puncak Alam. Mereka mesti berada di sana dan juga dapat mengenal pasti tempat kejadian jenayah," katanya.

"Kami berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan niat bersama," katanya.

Oleh itu, katanya, pembelaan alibi dalam kes ini tidak dapat dipertahankan.

9.48am: Hakim Suriyadi berkata tidak ada banyak butiran yang DSP Musa Safri - adikong timbalan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak - boleh berikan.

Hakim itu berkata, panel itu mendapati Musa tidak pernah mengarahkan responden pertama (Azilah) bagaimana untuk membantu Abdul Razak.

Oleh itu, katanya, tindakan tidak memanggil Musa, tidak menyebabkan berlaku ketidakadilan terhadap defendan.

9.45am: Hakim Suriyadi sekarang merujuk kepada barang kemas yang ditemui di rumah Sirul.

Beliau berkata Sirul membawa ASP Zulkarnain ke rumahnya dan menggunakan kunci untuk membuka mangga.

Ketika mengambil jaket tersebut, katanya, tertuduh berkata dia simpan barang kemas itu dalam jaket.

Katanya, sepasang anting-anting (dan) jam tangan telah diambil.

Menurutnya, Apabila pegawai polis itu bertanya sama ada ia adalah barang yang dirampas (daripada si mati), Sirul mengakuinya.

9.43am: Hakim Suriyadi membaca keterangan pegawai polis tentang Azilah membawa mereka ke tempat kejadian jenayah.

"Kami berpuas hati pihak polis tidak tahu tempat kejadian. Mereka pergi secara berasingan.

"Responden kedua (Sirul) telah bersetuju untuk menunjukkan tempat kejadian dan responden kedua telah membawa polis ke tempat kejadian yang sama," katanya.

Katanya, tertuduh adalah anggota polis dari unit elit, dan mereka tidak lagi mudah digertak apabila disoal-siasat.

9.40am: Hakim Suriyadi memutuskan bahawa panggilan itu boleh diterima dan pembelaan Azilah hanyalah satu penafian semata-mata.

9.35am: Hakim Suriyadi berkata terdapat panggilan-panggilan yang dibuat oleh Azilah dari Kampung Subang dan juga Puncak Alam.

Hakim meneliti lebih lanjut panggilan-panggilan telefon itu. Beliau berkata panggilan yang dibuat pada jam 11.16 malam 19 Oktober di Puncak Alam, mengesahkan secara pasti kes pendakwaan.

Katanya, dari analisis maklumat itu, tidak ada panggilan yang dibuat dari Wangsa Maju atau Bukit Aman pada masa itu (alibi Azilah).

Responden (Azilah) katanya, tidak boleh berada di mana-mana tempat lain daripada Puncak Alam.

9.33am: Hakim Suriyadi berkata walaupun notis alibi dibuat, teapi ia tidak mencukupi sehingga pihak pendakwaan telah berjaya menghasilkan kes prima facie.

"Azilah berkata dia tidak berada di Puncak Alam."

Terdapat satu rekod yang Azilah mendapatkan (retrieved) sepucuk pistol Glock dari Bukit Aman. Beliau berkata hanya pembuat catatan (dalam gudang senjata polis) boleh mengesahkan ini.

Sekarang beliau menyentuh tentang data telefon Azilah.

9.30am : Hakim Suriyadi berkata Razak telah dibebaskan tetapi kedua-dua tertuduh telah disabitkan atas kesalahan membunuh.

Bagaimanapun, mereka kemudiannya dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan.

Beliau kemudian menjelaskan kesilapan yang disebutkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan.

9.25am: Hakim Suriyadi membaca latar belakang kes itu dan berkata Abdul Razak didakwa bersubahat.

Beliau berkata Azilah telah menghantar notis alibi.

Katanya, bukti itu dikemukakan di peringkat pendakwaan dan diari balai turut dikemukakan dan catatan pada diari itu telah ditanda.

9.22am: Hakim Suriyadi kini membaca penghakiman 48 muka surat. Katanya, beliau akan membaca bahagian-bahagian yang berkaitan

9.20am: Azilah berjalan di depan kandang tertuduh.

Tun Majid memberitahu mahkamah bahawa notis mahkamah kepada Sirul tidak dapat disampaikan kepada tertuduh kedua itu.

9.19am: Panel yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara masuk.

Ini adalah panel yang mendengar rayuan pihak pendakwaan. Sirul tidak kelihatan.

9.15am: peguam Sirul mencari anak guamnya di sekitar dewan mahkamah. Bagaimanapun, tertuduh kedua itu tidak kelihatan.

9.04am: Ketua pasukan pendakwaan, Timbalan Peguam cara 1, Tun Abdul Majid Tun Hamzah sudah berada di mahkamah.

Beberapa orang pemberita yang tiba lewat, berdiri di dalam galeri awam kerana mahkamah sudah penuh.

8.58am: Salah satu daripada tiga peguam yang mewakili Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin, memasuki dewan mahkamah. Galeri awam sudah penuh sesak.

 

Tertuduh atau anggota keluarganya belum lagi kelihatan.

8.55am: Kira-kira 20 wartawan dan jurugambar sedang menunggu di luar mahkamah, dengan harapan untuk mendapatkan gambar kedua-dua tertuduh, yang wajah mereka ditutup sejak sejak hari pertama perbicaraan kes pembunuhan itu.

Peguam J Kuldeep Kumar, Hasman Ahmad dan Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurop kelihatan berbual di luar dewan mahkamah.

8.50am: Salah seorang tertuduh, Azilah Hadri, memasuki dewan mahkamah dengan memakai jaket hitam, baju putih lengan panjang dan tali leher biru.

Seorang lagi tertuduh, Sirul Azhar Umar, belum lagi kelihatan.

8.45am : Peguam Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili tertuduh kedua Sirul Azhar Umar, berjalan ke dalam dewan mahkamah.

Galeri awam dipenuhi dengan wartawan tetapi tidak kelihatan anggota keluarga tertuduh.

8.38am: Timbalan Pendakwa Raya (DPP) P Manoj Kurup dan peguam J Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah baru sahaja tiba.

Sekumpulan wartawan media asing turut berada di mahkamah untuk membuat liputan keputusan hari ini.

8.20am: Peguam Hazman Ahmad yang mewakili Azilah memasuki dewan bilik mahkamah. Tertuduh belum lagi kelihatan.

8.15am: Penghakiman akan disampaikan di Mahkamah Persekutuan 1. Difahamkan selain keputusan mengenai kes Altantuya Shaariibuu itu, terdapat satu lagi keputusan yang akan disampaikan oleh panel mahkamah tertinggi itu berhubung satu kes perkara sivil.

7.45am: Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan hari ini akan menyampaikan keputusan rayuan terhadap pembebasan dua anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) - Cif inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar - daripada tuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu.

                               

Panel yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria itu, akan memutuskan sama ada akan membenar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan  membebaskan mereka berdua pada bulan Ogos 2013.

 

Anggota lain panel hakim tersebut ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop dan Tan Sri Suriyadi Halim Omar.

 

Azilah dan Sirul dituduh bersama membunuh penterjemah Mongolia itu antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006 di sebuah kawasan hutan di Puncak Alam berhampiran Shah Alam.

 

Bahan letupan digunakan untuk membunuh Altantuya, di mana bukti menunjukkan dia ditembak dahulu dan mayatnya diletupkan.

 

Penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang mengakui mempunyai hubungan sulit dengan Altantuya, juga didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan bersubahat membunuh Altantuya.

 

Bagaimanapun, Abdul Razak telah dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

 

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Hakim Mohd Zaki Yasin mendapati kedua-dua anggota UTK tersebut bersalah membunuh wanita Mongolia itu dan menjatuhkan hukuman mati mandatori.

 

Bagaimanapun, selepas membuat rayuan, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membebaskan mereka berdua selepas mendapati berlaku penyalaharahan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, yang telah disenaraikan oleh Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dalam satu keputusan sebulat suara.

Menurut mahkamah rayuan, antara saksi penting yang tidak dipanggil untuk memberi keterangan termasuk adikong timbalan perdana menteri ketika itu, DSP Musa Safri.

Pihak pendakwaan kemudiannya membuat rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan dan keputusannya akan diumumkan hari ini.

Malaysiakini membuat liputan secara langsung keputusan itu, yang dijangka bermula jam 9 pagi.

Lihat Komen
ADS