Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi: P'raya tempatan undang 13 Mei
Diterbitkan:  Jan 23, 2015 2:34 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

PAS menyanggah hasrat sekutunya DAP untuk mengadakan pilihan raya tempatan atas alasan ia berpotensi menyebabkan peristiwa berdarah 13 Mei 1969 kembali berulang.

Pendirian itu dibuat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan hari ini.

"Pilihan raya majlis perbandaran seperti diperjuangkan DAP adalah kembali kepada kesilapan, kerana hanya melihat kepada aspek penduduk bandar sahaja untuk menang pilihanraya dalam jangka yang sangat pendek.

"Apatah lagi apabila kita melihatnya dari aspek perkauman yang boleh mencetuskan jurang dan polarisasi serta ketegangan di antara penduduk bandar yang bermajoriti kaum Cina yang sangat besar," kata Hadi.

Secara berkias, Hadi membayangkan yang pilihan raya tempatan akan memberikan kemenangan buat satu kaum dalam masyarakat berbilang kaum.

"Kita tidak seharusnya melihat kemenangan politik dan penguasaan ekonomi untuk satu pihak dalam masyarakat majmuk.

Lebarkan jurang masyarakat

"Kita tidak seharusnya mengusulkan sesuatu yang boleh menjadi cetusan ke arah ketidakstabilan, melebarkan jurang masyarakat desa dan bandar.

"Yang paling menakutkan kita ialah ketegangan seperti ini boleh menjadi 'api dalam sekam' untuk mengulangi peristiwa 13 Mei yang wajib dianggap titik hitam dalam sejarah negara," kata Hadi.

Hadi menegaskan bahawa orang Melayu, India dan Orang Asli di kawasan luar bandar tidak sepatutnya dipinggirkan.

"Kita perlu melihat semua kalangan dan arah, temasuk Melayu di kampung, India di estet, Orang asal dalam kawasan paling pedalaman dan kaum  yang paling kecil haram dipinggirkan daripada peranan memakmurkan bandar.

"Wajib disatukan dalam titik persamaan, saling mengerti dalam bertolak ansur dan bermaaf-maafan dalam  perkara yang berbeza, berlaku adil terhadap semua," katanya lagi.

Tentangan PAS ke atas hasrat DAP untuk melaksana pilihan raya kerajaan tempatan itu timbul susulan tentangan keras DAP ke atas pelaksanaan hudud.

DAP memberi alasan, pelaksanaan hudud tidak pernah dipersetujui dalam kerangka bersama Pakatan Rakyat.

Lihat Komen
ADS