Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tuan Ibrahim tolak pencalonan presiden
Diterbitkan:  Mar 10, 2015 7:26 PM
Dikemaskini: 1:05 PM

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man lewat petang ini menolak pencalonan untuk mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden PAS.

Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang menyatakan ikrarnya untuk terus mendukung kepimpinan Hadi.

"Atas pencalonan dari PAS kawasan Kota Bharu, saya mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan yang diberi.

"Namun, saya tidak dapat menerima pencalonan tersebut kerana saya akan terus mendokong TGHH (Hadi) sebagai presiden PAS dan membantu beliau.

"Biarlah orang lain kata tak setuju dengan ayah kita, tapi jangan pula anak-anak kata begitu," katanya dalam Facebooknya.

Jawatankuasa PAS Kota Bharu semalam menjadi kawasan pertama PAS yang mencalonkan Tuan Ibrahim untuk mencabar Abdul Hadi bagi jawatan presiden.

Yang Dipertuanya Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata pencalonan itu dibuat kerana masalah kesihatan presiden PAS dan Tuan Ibrahim adalah anak didik dan dekat dengan beliau.

Sekalipun PAS kawasan itu cuba membuktikan kesuburan demokrasi dalam parti, Tuan Ibrahim berkata berdasarkan sejarah kepimpinan parti jawatan itu tidak pernah dipertandingkan khususnya di era kepimpinan ulama.

"Saya melihat alangkah manisnya jika kita yang mendokong kepimpinan ulama, seperti yang dinyatakan Datuk Wan Rahim, untuk terus mengekalkan budaya tersebut," katanya.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, PAS mencapai zaman paling gemilangnya di bawah kepimpinan Hadi malah tokoh diangkat menjadi orang nombor dua dalam Kesatuan Ulamak Sedunia

"Setakat ini tiada siapa yang dapat dipadankan secara dekat dengan kepimpinan dan juga ketokohan TGHH (Haji) di dalam PAS.

"Dalam PAS, jawatan bukanlah sesuatu menjadi rebutan sebagaimana parti lain. Pertandingan berlaku hanyalah di atas sifat fastabiqul khairat ( berlumba melakukan kebaikan)," katanya.

Dalam nada rendah diri, Tuan Ibrahim turut berkata:

"Kalau Datuk Husam berkata 10 kali beliau pun tidak padan lagi dibandingkan dengan TGHH, saya yang bertinggian lima kaki dua inci pun mungkin ketinggalan lebih 5.2 kali di belakang TGHH dari segi kepimpinan.”

Lihat Komen
ADS