Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hudud: DAP tuduh PAS K'tan 'tikam dari belakang'
Diterbitkan:  Mar 18, 2015 3:24 PM
Dikemaskini: 7:41 AM

DAP kecewa dengan tindakan PAS Kelantan “menikam dari belakang” dengan membentangkan Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 hari ini.

Oleh itu, jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP akan bertemu pada Isnin depan untuk membincangkan hala tuju mereka dalam Pakatan Rakyat, kata setiausaha organisasinya, Anthony Loke.

Katanya, DAP perlu menilai semula perkara itu kerana tindakan PAS itu mengingkari persetujuan yang dicapai dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 12 Mac lalu.

“(Mesyuarat ini bagi) membincangkan dan memutuskan hala tuju DAP bersama Pakatan Rakyat selepas ditikam dari belakang oleh PAS Kelantan pada hari ini," katanya.

Dalam kenyataannya, Loke berkata, pembentangan tersebut juga dilihat sebagai tindakan provokasi untuk memecahkan Pakatan.

“Tindakan Kerajaan PAS Kelantan membentangkan Enakmen Jenayah Syariah II (1993) 2015 di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada hari ini adalah satu keputusan yang melanggari Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan mengkhianati konsensus Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat,” katanya.

Cadangan pindaan yang dibentangkan dalam persidangan DUN Kelantan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob itu menyentuh tentang kesalahan jenayah syariah hudud, qisas dan ta'zir.

Menurut Loke, DAP konsisten dengan pendiriannya bahawa pelaksanaan hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesuai dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia.

Tambahnya, perlaksanaan hudud tidak menjadi agenda bersama dalam Pakatan Rakyat sejak DAP bekerjasama dengan PAS dan PKR.

Lihat Komen
ADS