Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sabrina masih Kristian, kata menteri Sarawak
Diterbitkan:  Mar 29, 2015 12:26 PM
Dikemaskini: 5:13 AM

Tidak berlaku sebarang proses mengislamkan Sabrina Ngumbang dan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Lutong itu masih penganut agama Kristian, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah.

Mengulas mengenai isu membabitkan pemberian baju kurung dan telekung kepada pelajar itu sehingga menjadi viral media sosial, Fatimah menjelaskan, Sabrina masih bawah umur untuk membuat keputusan., lapor Borneo Post Online.

“Dia masih bawah umur untuk sebarang keputusan walaupun menyatakan minat untuk memeluk Islam kepada gurunya,” beliau dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Sabrina, keluarganya, pihak gereja, guru dan Pengetua SMK Lutong, Marcus Hugo, petang semalam.

Jelas Fatimah, Sabrina belum memeluk Islam kerana tidak berlaku sebarang proses pengislaman malah proses itu belum sampai ke jabatan agama Islam.

“Isu ini tamat di rumah dan ada bantahan daripada pihak gereja. Proses tidak diterus dan Sabrina masih penganut agama Kristian yang sah,” jelas beliau, seperti dilaporkan media tempatan itu.

Borneo Post melaporkan, isu pengislamannya timbul apabila pada 12 Mac lalu, Sabrina menemui seorang guru dan menyatakan minat memeluk agama Islam.

“Walaupun dia sendiri menyatakan minat memeluk Islam, tetapi masih bawah 18 tahun, ibu bapa sebagai penjaga sah berhak untuk dirujuk,” tegas Fatimah.

Ibu bapa Sabrina melaporkan kes tersebut polis petang kelmarin.

Setelah semua pihak terlibat bersemuka dan berbincang, Fatimah berkata, kes itu harus dijadikan iktibar kepada guru terutamanya mengenai hak pelajar bawah umur.

Beliau menambah, setakat ini tidak wujud senarai pelajar atau jumlah pelajar yang disasar untuk diislamkan seperti yang diuar-uar di laman sosial berhubung kes Sabrina.

Lihat Komen
ADS