Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP ingatkan PAS tak terjerat kali kedua
Diterbitkan:  Apr 14, 2015 1:23 PM
Dikemaskini: 5:33 AM

Anggota Parlimen DAP Bukit Bendera Zairil Khir Johari hari ini mengingatkan PAS supaya tidak terjerat dalam "perangkap" Umno buat kali dua kali.

Mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya parti itu wajib berunding dengan Umno berhubung pelaksanaan hudud, Zairil berkata PAS tidak sepatutnya lupa dengan "penipuan" yang dilakukan Umno pada 1970-an.

Beliau mengingatkan PAS mengenai insiden apabila ditipu selepas penyertaan parti itu dalam kerajaan campuran, rampasan kuasa semasa Kelantan ekoran darurat serta tragedi Memali pada 1985.

"Hadi Awang bukan orang baru dalam kancah politik Malaysia. Beliau seharusnya faham bahawa Umno cuma lunak kepada PAS ketika mereka terdesak memandangkan Umno sendiri yang menghalang pelaksanaan hudud pada 1993.

"Bagaimana pula dengan tragedi Memali pada tahun 1985? Sekiranya Pas ingin bekerjasama dengan Umno, tidakkah mereka perlu terdahulu menuntut kebertanggungjawaban terhadap kematian Ustaz Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya?," katanya.

Dalam kenyataan medianya, Zairil turut bertanya mengapa Hadi tidak mempersoal kesanggupan Umno membantu PAS melaksanakan hudud di Kelantan, sedangkan langsung tidak menunjukkan minat untuk membentangkannya di negeri yang mereka kuasai.

"Malahan, Presiden Umno sendiri terus mengelak daripada menyatakan pendiriannya berkenaan hudud, sementara terdapat menteri Umno yang terus-terang menolak pelaksanaan hukum tersebut," katanya.

Sehubungan itu, Zairil yang juga penolong setiausaha kebangsaan DAP itu turut mempersoalkan tindakan Hadi yang dianggapnya terburu-buru mewajibkan bekerjasama dengan Umno walaupun parti banyak kali dikhianati.

Malah, katanya, sikap Hadi juga berbeza dengan pemimpin sebelumnya seperti bekas presiden Datuk Fadzil Noor dan bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang dilihat sentiasa tegas dan lantang dalam isu yang melibatkan Umno.

Katanya, kedua-dua pemimpin itu menekankan nilai Islam, keadilan dan amanah serta menggalakkan sikap istiqamah bersama pakatan pembangkang bagi menumpaskan Umno dan BN.

"Mengapa Hadi Awang begitu terburu-buru untuk mewajibkan kerjasama dengan Umno setelah banyak kali dikhianati mereka (Umno)?

"Setelah berkali-kali ditipu oleh Umno, PAS seharusnya sedar dan tidak menjadi pelanduk yang melupakan jerat," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS