Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Lain dicari lain pula yang dapat.

Begitu nasib menimpa ustaz muda Ekhsan Bukharee Badarul Hisham yang berhempas pulas menuntut kenaikan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri Selangor.

Selepas beberapa kali menghantar memorandum dan mengadakan kepada media, Ekhsan akhirnya menerima surat tunjuk sebab daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Katanya, dalam surat itu yang diterimanya semalam, beliau diminta menjelaskan tindakan mengeluarkan kenyataan media tanpa kebenaran dan menimbulkan kekecohan di dewan negeri Selangor.

Ekhsan juga didakwa menimbulkan provokasi kepada jabatan tersebut.

Beliau sebelum ini mencetuskan drama kerana menangis ketika dihalang bertemu wakil rakyat Pakatan ketika mahu menuntut janji manifestonya sebelum ini.

Berdepan dakwaan JAIS itu, Ekhsan hari ini berkata beliau rela dengan kemungkinan dihadapinya.

“Saya rela dibuang kerja, jika itulah harganya saya akan bayar,” kata guru 24 tahun itu.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi JAIS berhubung perkara itu.

Anak murid, guru lain sokong

Ekhsan hari ini sekali lagi mendesak Menteri Besar Selangor Azmin Ali tampil menjawab desakan untuk menaikkan elaun daripada RM1,212 kepada RM1,500 seperti dijanjikan sebelum ini

“Minta dia (Azmin) respon, minta jangan lengahkan lagi kenaikan elaun guru KAFA,” katanya.

“Selangor negeri paling kaya di Malaysia ada RM3.6 bilion rizab, tergamakkah dia abaikan pendidik-pendidik di Selangor yang mengakibatkan kualiti pengajaran guru KAFA ini merosot,” katanya.

Beliau juga berikrar untuk terus mendesak kerajaan negeri sehingga perkara itu menjadi kenyataan.

Katanya, beliau akan terus memberi desakan sehingga Azmin menunaikan janjinya.

Ekhsan juga mendakwa mendapat sokongan ramai guru KAFA yang terlibat secara langsung tetapi tidak mahu menonjolkan diri kerana bimbang dikenakan tindakan.

Sokongan itu, katanya lagi, tergambar melalui pesanan yang disampaikan melalui SMS atau melalui laman sosial.

Manakala, di Facebook beliau sendiri, kelihatan beberapa video dimuat naik yang menunjukkan anak murid Ekhsan memberikan sokongan kepada guru mereka itu.

Video itu dipercayai dirakam guru agama lain.

Lihat Komen
ADS