Ahli Parlimen BN Sepanggar, Datuk Jumat Idris mengeluh berhubung kesan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas perkhidmatan penjagaan kesihatan selepas terpaksa membelanjakan RM1,200 untuk itu.

Jumat berkata, beliau telah dikenakan bayaran itu selepas membawa anaknya ke sebuah hospital swasta untuk rawatan.

"Saya memahami kesusahan rakyat kerana GST ni," katanya dalam catatan di Facebook.

"Kos konsultasi kena 6%, bayar kos rawatan 6% lagi," katanya.

Menurut Jumat (kiri), anaknya dimasukkan ke hospital tersebut kerana sakit saraf dan tulang belakang bengkok.

"Rawatan saraf 20,000, GST RM1,200. Belum masuk bil lain hari ni dah kena RM5,000. Memang membebankan rakyat sebenarnya. Bulan Mei ni kena berteriak kat parlimen pula," katanya dalam catatan Facebook tersebut.

Ironinya, menurut rekod Parlimen, Jumat mengundi menyokong rang undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang diluluskan pada 7 April 2014.

Sebuah gabungan kumpulan masyarakat sivil akan menganjurkan satu perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur Jumaat depan, yang merupakan Hari Buruh, untuk membantah cukai baru itu.

[Baca berita penuh/asal]