Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mendakwa mendapat nasihat daripada perdana menteri, Lembaga Tabung Haji akan menjual tanah yang dibelinya secara kontroversi daripada 1Malaysia Development Berhad, kata Datuk Sri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Kata Pengerusi Tabung Haji itu, ahli lembaga pengarah agensi itu bersetuju dengan penjualan berkenaan sebagai menghormati sentimen serta sensitiviti pendeposit dan mengekalkan keyakinan orang ramai.

Bagaimanapun, Abdul Azeez ( gambar ) yang juga Ahli Parlimen Baling tetap menafikan Tabung Haji melakukan sebarang salah laku dalam transaksi berkenaan.

"Perdana menteri menghubungi saya pagi ini dan memberikan nasihat supaya kami menjual tanah berkenaan.

"Ketika ini sudah ada tiga tawaran dan kami akan menyelesaikannya minggu depan," katanya di sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Ini bukan bailout

Abdul Azeez juga mendakwa selain akan mendapatkan keseluruhan wang yang dibelanjakan untuk membeli tanah itu Tabung Haji juga dapat membuat keuntungan daripada transaksi tersebut.

Azeez mendedahkan sehingga semalam ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji tidak bersetuju menjual tanah berkenaan untuk membuktikan tiada salah laku terjadi sepanjang proses ia dilakukan.

Ketegasan itu juga, kata Azeez, dibuat untuk menunjukkan pembelian berkenaan adalah pelaburan biasa untuk Tabung Haji.

"Mula-mula Tabung Haji ditawarkan membeli tanah itu pada April 2013 dan dipersetujui panel pentadbiran dan pelaburannya sebelum ia dibawa kepada lembaga pengarah," katanya.

Azeez turut berkali-kali menegaskan pembelian tanah itu bukan dibuat untuk menyelamatkan ( bailout ) 1MDB yang kini didakwa mengalami kerugian besar.

Kata Azeez, persetujuan mesti diperoleh secara mutlak kerana jika ada seorang saja ahli lembaga tidak bersetuju, transaksi berkenaan tidak boleh diteruskan.

"Isu ini adalah polemik politik yang cuba mengheret Tabung Haji.

"Langkah terbaik untuk saya dan Tabung Haji adalah mengelak daripada terseret di dalamnya," katanya.

Lihat Komen
ADS