KOLUM | Apa nasib Najib lepas 24 Ogos 2028?
Satu Malaysia jangan lupa akan tarikh Khamis 24 Ogos 2028. Ini tarikh amat penting. Penting? Ada apa pada hari Khamis ini? Sila baca seterusnya....
Heboh. Satu Malaysia heboh bila media melaporkan Najib Razak kini dipindahkan dari Penjara Kajang ke rumah di alamat No 11 Jalan Langgak Duta Taman Duta. Sebutan nama Duta pada jalan ini menunjukkan ini kawasan perumahan orang kaya-kaya. Bukan orang kayap-kayap.
Maka timbul pelbagai kisah, pelbagai berita, bermacam komen, puluhan andaian dan pandangan.
Ada ditulis dalam Bahasa Melayu. Ada dalam Bahasa Inggeris yang membolehkan saya membaca. Saya tidak tahu apa komen dalam Bahasa Mandarin dan Tamil. Pasti melambak macam dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.
Naik bengang
Ada tulisan sumpah seranah, ada sentimen marah – rasa tidak puas hati kerana Najib kini menjalankan hukum penjara dalam rumah sendiri. Tidur atas tilam sendiri. Bantal empuk milik sendiri. Bukan tilam nipis dan bantal keras seperti yang saya alami ketika saya ditahan di Kamunting Taiping.
Orang ramai dan rakyat Malaysia naik bengang.
Maka Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution terpaksa berucap di Parlimen memberi penjelasan secara terperinci apa yang Najib boleh lakukan dan apa yang dilarang dari segi undang-undang bila Najib pulang ke rumah.
/file/attachments/890/Symboliceditorialportrait12Nov20261204am_400849.png)
Dengan tegas lagi terang menteri KDN menyatakan jika Najib melanggar peraturan tahanan dalam rumah maka Najib akan dibawa kembali ke Kajang.
Arahan dari menteri KDN jelas terang seperti tengah hari matahari bersinar dalam bulan Julai.
Penahanan di rumah tertakluk kepada empat kategori sekatan sepanjang menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah. Ini termasuk kawalan pergerakan, larangan penggunaan telefon dan media sosial serta larangan terbabit dalam sebarang aktiviti politik.
Menteri KDN berbuih mulut di Parlimen untuk meyakinkan satu Malaysia bahawa semua ini ada dalam syarat Lembaga Pengampunan.
Untuk tidak dilihat sebagai tahanan ini satu komedi - Najib juga perlu menghadiri program pemulihan dan intervensi.
Ini sama seperti pengalaman saya semasa dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Saya diajar cara sembahyang. Mungkin kuliah Najib bukan hal sembahyang. Atau hal mandi junub.
Mungkin untuk Najib hal yang bersangkutan dengan rasuah dan mencuri harta rakyat. Wallahualam.
Tidak cukup dengan ini, menteri KDN berkata penjara juga dibenarkan untuk mengadakan syarat-syarat yang bertujuan untuk menyediakan kawalan dan seliaan arahan dan tatacara.
Dalam hal semua ini Najib tidak boleh mengaku tidak tahu.
Curi biskut kena penjara
“Semua itu telah dibacakan kepada Najib dua hari sebelum dia dikeluarkan daripada penjara Kajang dan dihantar ke Jalan Langgak Duta...” Ini petikan ucapan Saifuddin di Parlimen.
Pegawai Penjara Kajang telah membaca syarat-syarat dan Najib pasang telinga mendengar. Amin.
Kes Najib ini telah menjemput pelbagai warganet dan pengamal media sosial untuk menulis dan bersuara. Cukup gemilang. Berbelas-belas tulisan telah saya terima melalui WhatsApp.
Hampir semua kritikal terhadap pemindahan Najib dari Penjara Kajang ke Langgak Duta. Semua pandangan ini hampir sama: Najib wajib terus dipenjara di Kajang. Najib telah melakukan jenayah besar.
Ada kisah makcik curi biskut kena penjara kenapa Najib yang curi berjuta ringgit dapat berehat di rumah. Mana keadilan?
Hampir semua sosok ini menyatakan rasa tidak setuju mereka terhadap pemindahan Najib dari penjara ke tahanan dalam rumah.
/file/attachments/890/Symboliceditorialportrait11Nov20261147pm_966509.png)
Semua sosok yang menulis ini adalah warga Malaysia yang cintakan keadilan dan kesaksamaan. Pada hemat saya semua mereka adalah sosok-sosok jujur pemangkin keadilan dan demokrasi dalam negara kita.
Mereka ini benteng menjamin demokrasi, keadilan dan keharmonian untuk Malaysia.
Mereka tidak mempertikaikan hak Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan. Tapi mereka merafak sembah merayu agar keputusan tahanan di rumah itu dibatalkan demi keadaan. Amin.
Saya juga membaca kenyataan dan pendirian rasmi daripada badan pemantau pilihan raya dan reformasi Bersih berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.
Bersih telah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja-Raja Melayu supaya meneliti semula aspek keadilan dan kesaksamaan dalam pemberian pengampunan kepada Najib.
Bersih juga mempersoalkan konsep keadilan dalam judul kenyataan dengan istilah Tok Arab 'Risalah al-Muluk' menyatakan bahawa tiada keadilan yang sempurna sekiranya pengampunan diberikan ketika Najib masih berdepan dengan satu lagi kes rasuah berprofil tinggi berkaitan 1MDB.
Majlis Peguam garang
Bersih juga menimbulkan hutang berjuta-juta ringgit yang dihadapi oleh negara akibat skandal 1MDB. Mengikut Bersih hutang berbilion ini akan ditanggung oleh generasi yang akan datang.
Justeru dengan lenggok bahasa yang bersopan Bersih minta penangguhan pemindahan Najib dari Kajang ke Langgak Duta.
Paling garang dan bersandarkan hukum-hakam ialah pendirian Majlis Peguam.
Pada 11 November 2026 Berita Harian telah melaporkan: Majlis Peguam memfailkan permohonan undang-undang bagi mencabar pelaksanaan tahanan rumah Najib, dengan alasan ia tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai asas di bawah undang-undang Malaysia.
/file/attachments/890/Symboliceditorialportrait12Nov20261206am_825398.png)
Badan guaman itu memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk membatalkan prosiding serta keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan aturan tahanan rumah yang diberikan pada 18 September lalu.
Majlis Peguam turut memohon pelaksanaan aturan itu ditangguhkan, sementara menunggu penyelesaian semakan kehakiman berkenaan.
Ini pandangan dan tuntutan yang berasaskan hukum-hakam dan berpandukan Perlembagaan Negara Malaysia. Keputusan Majlis Peguam ini pastilah telah dibincang dan didebat oleh para peguam yang berilmu.
Tetapi untuk saya Hishamuddin Rais warga Malaysia yang tidak ada ilmu undang-undang – semua ini adalah 'hampeh' dan karut-marut.
Ikan sudah terlepas dari lukah.
Saya hanya membaca tapi tidak ambil 'pot'. Ini kerana semua tulisan, semua pandangan dari warganet dan pengamal media sosial telah melupakan hari Khamis 24 Ogos 2028.
Malah Bersih dan Majlis Peguam tidak juga menyebut tarikh Khamis 24 Ogos 2028. Justeru saya 'hampehkan' pandangan mereka.
Pada Rabu 23 Ogos 2028 ialah tarikh akhir Najib ditahan dalam rumah di Langgak Duta. Esoknya Khamis 24 Ogos 2028 Najib wajib menjalankan hukum 15 tahun tahanan penjara sabitan kes 1MDB.
Perkara ini tidak dihebohkan. Tahanan di rumah ini, saya ulangi hanya untuk kes SRC sahaja.
Untuk kes 1MDB Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion oleh Mahkamah Tinggi pada 26 Disember 2025.
Pemenjaraan Najib atas kes SRC dan 1MDB, saya ulangi tidak berjalan serentak. Amin.
Justeru saya anggap heboh-heboh Najib pulang ke Langgak Duta ini hanyalah satu umpan atau decoy untuk mengalih pandangan agar rakyat Malaysia semua melupakan pemenjaraan 15 tahun Najib yang wajib bermula pada Khamis 24 Ogos 2028.
Secara bijak lagi licik media kita, pengamal sosial media dan warganet telah berjaya diumpan dan dialih fikrah untuk melupakan tarikh Khamis 24 Ogos 2028.
/file/attachments/890/Symboliceditorialportrait11Nov20261144pm_337703.png)
Untuk saya kita lupakan Najib ditahan di Langgak Duta. Kita lupakan sama ada Rosmah Mansor berada di sana atau tidak. Kita lupakan sama ada Najib makan nasi atau makan quinoa. Semua ini perkara remeh-temeh.
Apa yang Bersih dan Majlis Peguam wajib hebohkan dari sekarang ialah apa akan terjadi pada Khamis 24 Ogos 2028.
Majlis Peguam wajib bersuara memberi pencerahan melalui hukum-hakam dari sekarang sebelum ikan kaloi terlepas sekali lagi dari lukah.
Warganet dan pengamal media sosial wajib terus diingatkan bahawa pada 23 Ogos 2028 tahanan Najib di Langgak Duta akan tamat.
Kenapa saya mahu tarikh ini terus dihebohkan dari hari ini kerana saya risau, takut dan waswas jika tiba-tiba Peguam Negara akan mengeluarkan satu interpretasi baru pula mengenai arahan tahanan di rumah.
Wajib disedari bahawa pada Khamis 24 Ogos 2028 PRU16 sudah lama selesai. Kita tidak tahu parti mana yang menjadi kepala di Putrajaya.
Apakah dalam PRU 16 kerajaan Anwar bin Ibrahim kalah dan naik kerajaan Barisan Nasional bersama Perikatan Nasional dengan perdana menteri baru? Apakah akan ada lantikan Peguam Negara yang baru?
Apa yang pasti pada 24 Ogos 2028 Malaysia akan ada Yang di-Pertuan Agong baru. Apakah Najib sebelum Khamis 24 Ogos 2028 akan minta ampun sekali lagi?
/file/attachments/890/Symboliceditorialportrait12Nov20261222am_820955.png)
Saya mahu secara jelas Peguam Negara yang bertugas hari ini wajib mengeluarkan kenyataan secara terang lagi bersuluh bahawa pada Khamis 24 Ogos 2024 Najib akan kembali ke penjara untuk menjalani hukuman 15 tahun penjara kes 1MDB.
Kawan baik saya YB Hassan Karim tak perlu menulis sajak lagi. Apa yang wajib YB Hassan Karim hebohkan dari sekarang ialah apa akan berlaku pada Khamis 24 Ogos 228.
Justeru saya akhiri tulisan ini dengan serangkap pantun:
Lidi kelapa dibuat penyapu
Ambil ubi di tepi perigi
Jangan terpedaya jangan ditipu
Kes 1MDB Najib ke penjara lagi. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/890/Symboliceditorialportrait11Nov20261141pm_718699.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.