Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi halangan utama kabinet bayangan
Diterbitkan:  May 19, 2015 3:00 PM
Dikemaskini: 7:12 AM

Pakatan Rakyat tidak dapat membentuk kabinet bayangan kerana Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini.

Menurut Lim, apabila Pakatan bercakap mengenai isu berkenaan, rundingan awal mesti dilakukan di kalangan tiga parti dalam gabungan itu.

Bagaimanapun, katanya, DAP tidak yakin proses itu dapat dijalankan.

"Sedangkan Abdul Hadi tidak berunding dengan partinya (PAS), bagaimana DAP mahu mengharap dia berunding dengan kita?" katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Abdul Hadi akan menang

Isu kabinet bayangan diperkatakan semalam apabila Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh yang baru.

Beliau juga dilantik sebagai ketua pembangkang menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjara.

Sebelum ini DAP memutuskan semua hubungannya dengan Abdul Hadi ( gambar ) ekoran kedegilan parti berkenaan membawa usul persendirian mengenai hudud ke parlimen.

Lim berkata, kemungkinan besar Abdul Hadi akan terus mengetuai PAS selepas muktamar ini walaupun berdepan pencabar Ahmad Awang.

Dalam keadaan begitu, kata Lim, kemungkinan besar dasar PAS tidak akan berubah.

"Saya tidak fikir ia boleh dilakukan ketika ini. Ia hanya boleh dibuat di peringkat parti," katanya.

Dalam sidang media di parlimen kemudiannya, Lim menjelaskan kabinet bayangan Pakatan tidak dapat direalisasikan kerana Abdul Hadi akan menolak sebarang keputusan dibuat.

Selain itu, katanya, BN juga menggunakan isu itu untuk menyerang Pakatan kerana setiap parti akan mempunyai wakil di setiap kementerian.

"Tiada kabinet bayangan Pakatan. Tiada kabinet bayangan DAP, tiada kabinet bayangan PAS, tiada kabinet bayangan PKR," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, Pakatan boleh bekerjasama dalam isu kepentingan bersama.

Bukan PM bayangan

"Sama ada ia akan dibuat pada masa depan, kita tunggu," katanya.

Lim turut mengumumkan barisan 34 ahli parlimennya yang dilantik di 18 portfolio berbeza hari ini.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang bertanggungjawab untuk bidang kewangan dan ekonomi, Gobind Singh Deo (Puchong - Kementerian Dalam Negeri dan Undang-undang) dan Teresa Kok (Seputeh - Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Setiap seorang ahli parlimen terhad menjadi jurucakap bagi satu portfolio tetapi beberapa yang lain boleh bertindak sebagai timbalan jurucakap untuk beberapa kementeiran.

Lim dan bapanya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang serta Tan Seng Giaw (Kepong) tidak diletakkan di mana-mana portfolio.

Namun beliau menafikan keadaan itu berlaku kerana dia akan bertindak sebagai perdana menteri bayangan.

"Saya bukan perdana menteri bayangan. Itu anda perlu tanya ketua pembangkang," katanya.

Lihat Komen
ADS