Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mahu Mohamad Sabu, yang tewas dalam pemilihan supaya "memperkukuhkan parti" selepas membayangkan akan mencari "wadah baru" bagi meneruskan perjuangan.

"(PAS) harap dia akan kukuhkan parti," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS Kuala Lumpur.

Tuan Ibrahim menjawab soalan mengenai kenyataan Mohamad yang mungkin mencari "wadah baru" bersama pemimpin progresif dalam program Malam ‘Jasamu Dikenang’ di Muar baru-baru ini, selepas ditolak dalam pemilihan parti.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Tuan Ibrahim berkata PAS tidak menghalang mana-mana pemimpin terlibat dalam apa jua aktiviti asalkan ia tidak terkeluar dari landasan parti.

"Bila nak buat, kita tidak ada hak untuk larang. Aktiviti kita mesti jangan keluar dari parti,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS pusat.

Dalam program itu, Mohamad membayangkan beliau dan rakan-rakannya mungkin mencari wadah bagi memulakan perjuangan baru termasuk membentuk parti politik, selepas mengadakan perbincangan dengan semua pihak.

Selain itu, beliau atau mesra dipanggil Mat Sabu dan rakan yang lain boleh bergerak sebagai anggota biasa atau melalui NGO dan keputusannya bakal diketahui selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam sidang media itu juga, Tuan Ibrahim juga berkata dalam mesyuarat tersebut turut dibangkitkan supaya jawatankuasa membincangkan mengenai usul memutuskan hubungan dengan DAP.

Bagaimanapaun, katanya, perkara itu ada dibincangkan tetapi usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP ataupun tidak, akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama.

"Kita juga bincang tentang usul (putus hubungan dengan DAP) kerana ia akan diangkat dalam Majlis Syura Ulama. Ini baru mesyuarat pertama, selepas itu serah pada Majlis Syura.

"Itu usul Majlis Syura, (jadi perbincangan hari ini) tidak ada kena mengena dengan DAP," kata Tuan Ibrahim.

Beliau berkata Majlis Syura Ulama bermesyuarat petang ini.

Turut hadir dalam sidang media itu turut dihadiri Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan.

Lihat Komen
ADS