Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pembelian aset MARA lain libatkan sogokan?'
Diterbitkan:  Jun 24, 2015 3:38 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

NGO Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Negara (NOW) hari ini meminta kerajaan memberi penjelasan sama ada pembelian tiga hartanah yang lain di Australia oleh MARA Inc turut melibatkan sogokan.

Ia berikutan laporan akhbar Australia The Age mendakwa anak syarikat Majlis Amanah Rakyat itu membuat pembelian apartmen "The Dudley" di Melbourne dengan harga yang tinggi dan lebihannya disalurkan kembali kepada pegawai MARA sebagai sogokan.

"Sekiranya tuduhan penyelewengan dalam pembelian The Dudley mempunyai asas, perdana menteri perlu mengarahkan siasatan menyeluruh termasuk pembelian hartanah-hartanah yang lain yang secara keseluruhannya melibatkan ratusan juta ringgit wang amanah rakyat," kata pengarah NOW Rafizi Ramli dan Akmal Nasir dalam kenyataan media bersama.

Rafizi merupakan ahli parlimen Pandan dan Naib Presiden PKR manakala Akmal merupakan pengarah strategi AMK.

Mereka berkata siasatan NOW turut menemui tiga pembelian hartanah oleh MARA Inc selain daripada The Dudley iaitu di 746 Swanston Street, 51 Queen Street dan 333 Exhibition Street.

Justeru, kedua-duanya memohon penjelasan sama ada jumlah pembelian kesemua hartanah itu dilakukan dengan harga yang munasabah atau sebaliknya.

"Jika benar, adakah jumlah urus niaga empat hartanah ini menelan belanja RM244.47 juta dan adakah kesemua urusniaga ini dijalankan pada harga munasabah atau pada harga yang dinaikkan?," soal mereka.

Akhbar The Age menganggarkan harga hartanah di Swanston Street bernilai A$23.5juta manakala hartanah di Queens Street dan Exhibition Street pula jika digabungkan bernilai A$40 juta.

Rafizi dan Akmal turut mempersolkan mengapa MARA mempunyai syarikat yang didaftarkan didaftarkan di kepulauan British Virgin sebagai tempat untuk berlindung daripada cukai dalan kes pembelian hartanah.

Pada masa yang sama, mereka mempersoalkan mengapa syarikat tersebut tidak didaftarkan terus di Malaysia atau Australia.

Semalam The Age mendakwa sekumpulan pegawai MARA menggunakan dana pelaburan kerajaan Malaysia untuk membida harga blok apartmen Dudley International House daripada A$17.8 juta (RM51.5 juta) kepada A$22.5 juta (RM65juta) dengan wang perbezaan itu didakwa dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Lihat Komen
ADS