Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jangan lupa ahli PAS yang menangkan kamu'
Diterbitkan:  Jul 15, 2015 12:38 PM
Dikemaskini: 4:41 AM

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad berharap pemimpin progresif parti itu yang berhasrat meninggalkan mereka tidak lupa pada sokongan anggota.

Katanya, ini termasuk anggota PAS yang bekerja keras dan menyumbangkan wang ringgit bagi memenangkan mereka dalam pilihan raya.

Beliau mengingatkan bahawa kemenangan kumpulan progresif bukan dari hasil titik peluh mereka sendiri sebaliknya daripada sokongan semua pihak, termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang lapor Harakahdaily.

“Jangan tuan puan lupa dengan sokongan ahli-ahli PAS yang bekerja keras siang dan malam serta wang ringgit yang disumbangkan bagi memenangkan anda selaku wakil rakyat PAS, maka kerjaya kamu sebagai ahli parlimen dan ADUN bukan hasil titik peluh kamu sendiri.

“Tetapi hasil sokongan dan dukungan daripada semua pihak daripada Tuan Guru Presiden dan pimpinan tertinggi parti dan seluruh ahli-ahli PAS,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Mahfodz justeru menyeru mereka meletakkan jawatan jika mahu meninggalkan PAS bagi mengelakkan “pendapatan syubhah”, yang akhirnya memberikan kesan kepada ketenangan hidup dunia dan akhirat.

"Seruan ana kepada wakil rakyat di Parlimen dan ADUN secara jujur dan ikhlas supaya sahabat-sahabat meletak jawatan kerana tuan-puan adalah wakil rakyat bukan wakil DAP mahupun Gerakan Harapan Rakyat,” katanya.

'Banyak sangat parti Islam'

Sementara itu, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob pula dilaporkan bimbang kemunculan parti Islam baru akan melemahkan dan memecahbelahkan lagi perpaduan umat Islam.

Katanya, perpecahan yang disebabkan perbezaan ideologi politik itu hanya menyebabkan suara umat Islam menjadi lebih kecil dalam sebuah negara majmuk yang mempunyai berbilang bangsa dan agama.

“Mana-mana pihak bebas menubuhkan parti. Tetapi untuk membentuk sebuah parti baru yang juga berasaskan Islam, saya takut akan mengecilkan dari segi suara.

“Banyak sangat parti Islam,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS