Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki berkaitan siasatan 1MDB direman
Diterbitkan:  Jul 21, 2015 11:00 AM
Dikemaskini: 8:25 AM

Seorang lelaki ditangkap anggota pasukan khas yang menyiasat skandal 1MDB semalam dan direman di Putrajaya hari ini.

Lelaki tersebut yang berusia 39 tahun dipercayai ditangkap pihak berkuasa di lapangan terbang.

Dia diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah - yang diketahui mempunyai kaitan dengan Umno - dan selepas menjalani proses mendapatkan perintah reman, majistret memberi kebenaran supaya dia ditahan selama empat hari untuk membantu siasatan.

Star Online melaporkan Muhammad Shafee memberitahu kes berkenaan membabitkan "kepentingan negara."

Katanya penyiasat memohon lelaki itu - kini terbabit dalam syarikat harta tanah dan pembangunan - direman selama tujuh hari.

Namun, kata Muhammad Shafee, majistret hanya memberi kebenaran selama empat hari.

Pasukan petugas khas yang sedang menyiasat skandal kewangan membabitkan agensi tajaan kerajaan itu dianggotai pegawai dari Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara Malaysia. [Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan SPRM memperoleh perintah daripada Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk menahan reman seorang pengarah syarikat bagi membantu siasatan membabitkan akaun 1Malaysia Development Berhad (IMDB).

    

Bantu siasatan

Majistret Lau Eric mengeluarkan perintah untuk menahan reman lelaki berusia 39 tahun itu sehingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM.

    

Lelaki itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam tadi oleh pasukan petugas khas yang menjalankan siasatan berhubung akaun 1MBD.

    

Suspek yang memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga, tiba di mahkamah kira-kira 8.30 pagi. Dia diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

    

Shafee memberitahu pemberita bahawa SPRM memohon perintah tahanan reman selama tujuh hari tetapi majistret hanya membenarkan empat hari.

    

Peguam itu berkata beliau tidak tahu sebab anak guamnya ditahan tetapi diberitahu bahawa ia adalah "siasatan atas kepentingan negara."

Sementara itu, firma pelaburan itu mengesahkan bahawa tiada pekerja 1MDB yang ditahan reman selepas maklum mengenai penahanan lelaki di Putrajaya hari ini.

"Tiada pekerja 1MDB berada di bawah tahanan reman," tegas 1MDB dalam kenyataan ringkasnya petang ini.

"1MDB mengulangi komitmen kami untuk memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa yang sedang menjalankan siasatan ke atas 1MDB."

Lihat Komen
ADS