Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gantung The Edge 'konspirasi' tekan Najib?
Diterbitkan:  Jul 27, 2015 11:59 AM
Dikemaskini: 7:37 AM

Ketika banyak pihak menyalahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas penggantungan penerbitan The Edge, anggota parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar ada teori berbeza.

Beliau percaya tindakan itu sebahagian konspirasi dalaman Umno untuk menimbulkan kemarahan orang ramai terhadap Najib demi menekannya supaya berundur.

“Sama ada apakah Najib akan tunduk pada tekanan ini atau tidak, ia bergantung kepada sejauh mana pula pasukan khas siasatan kes 1MDB mampu membebaskan diri mereka daripada sebarang pengaruh Najib,” katanya.

The Edge Media Group pada 24 Julai mengumumkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit penerbitan dua akhbar terbitannya, The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily.

Penggantungan itu berkuat kuasa selama tiga bulan bermula 27 Julai dan disampaikan melalui sepucuk surat kementerian itu.

The Edge merancang mendapatkan perintah mahkamah bagi membatalkan penggantungan itu dan menganggapnya sebagai usaha menutup mulut mereka susulan laporan berkaitan 1MDB.

KDN antaranya mendakwa tajuk dan cara pelaporan serta pemberitaan kedua-dua penerbitannya menimbulkan persoalan dan persepsi negatif kepada masyarakat terhadap 1MDB yang berkait dengan kerajaan dan kepimpinan negara.

Penggantungan itu ditentang meluas wartawan dan aktivis media bebas di negara ini.

Dalam kenyataannya hari ini, Mahfuz mendakwa konspirasi itu dibuat kerana kepimpinan Umno sendiri tidak mampu lagi mempertahankan dan melindungi Najib.

“KDN digunakan untuk tujuan tersebut kerana di kalangan pimpinan umno dan BN sudah tidak mampu mempertahan dan melindungi Najib apabila majoriti rakyat Malaysia mempercayai Najib sesungguhnya terlibat,” dakwanya.

Lihat Komen
ADS