Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau hanya mengetahui berhubung penggugurannya sebagai timbalan perdana menteri pada 12.15 tengah hari semalam, kira-kira sejam sebelum pengumuman perdana menteri.

Katanya, beliau dimaklumkan untuk bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada jam 11.30 pagi.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, memandangkan beliau pada ketika itu berada di Sendayan Negeri Sembilan, beliau hanya bertemu Najib pada jam 12.15 tengah hari.

"Dia jemput saya dan selepas perbincangan saya beri pendapat saya dan beliau jelaskan apa yang patut dijelaskan.

"Dan saya tanya tujuan dijemput, adakah berkaitan rombakan. Dan dia angguk. Saya tanya adakah you nak bercakap apa-apa dengan saya.

"Dia (Najib) cakap dia susah nak cakap. Kemudian saya tanya adakah saya tak tersenarai, dia angguk dan ucapkan terima kasih," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di kediamannya hari ini.

Pada sidang media itu turut dihadiri isteri beliau Norainee Abd Rahman.

Sebelum sidang media diadakan, Muhyiddin kelihatan tersenyum dan melambaikan tangannya kepada media.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang dianggap memberi liputan "luar biasa" pada hari ini.

"Bagi saya ini agak luar biasa. Pertama kali saya lihat sejumlah wakil media dan kamera agak banyak dalam majlis pertemuan dengan saya," kata Muhyiddin tersenyum.

Ikut whip jika undi tak percaya

Selain itu, ketika ditanya sama ada beliau akan menyokong undi tidak percaya terhadap Najib, timbalan pengerusi BN itu berkata, sebagai ahli parti beliau akan mengikut keputusan ketua whip BN di Parlimen.

Ketua whip BN di Parlimen ialah Tan Sri Shahrir Samad.

"Saya tak tahu itu (undi tak percaya) akan diadakan di Parlimen. Cuma hipotetikal sehingga perkara itu akan diadakan, itu kita kena tunggu,

"Sebagai ahli parti yang bertanggungjawab, maka saya akan buat keputusan berdasarkan ketua whip dalam Parlimen," katanya.

Sementara itu, ditanya lagi sama ada beliau berhasrat untuk menggantikan jawatan Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Muhyiddin sambil ketawa berkata, perkara itu perlu diusulkan oleh pihak di Parlimen.

Malah, pada ketika ini beliau lebih selesa dengan keadaan sekarang dan tidak berhasrat menjawat jawatan tersebut.

"Tak berhasrat (gantikan Nur Jazlan). Saya selesa dengan keadaan sekarang. Biar ia diusul oleh pihak tertentu di Parlimen," kata ahli parlimen Pagoh itu.

Lihat Komen
ADS