Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AG: Kertas pertuduhan palsu tunjuk 'konspirasi'
Diterbitkan:  Jul 31, 2015 7:55 AM
Dikemaskini: Jul 31, 2015 3:47 AM

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata apa yang didakwa draf kertas pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Abdul Razak yang disiarkan di laman web pemberi maklumat Sarawak Report adalah palsu.

Beliau juga berkata, kertas pertuduhan itu menunjuk ke arah satu konspirasi untuk menjatuhkan perdana menteri dan memberi amaran tindakan tegas terhadap pelakunya.

Ia, katanya, menunjukkan satu ancaman terhadap demokrasi Malaysia dan beliau akan arahkan semua tindakan diambil untuk menyiasatnya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas tengah malam tadi, beliau berkata, undang-undang akan digunakan sepenuhnya tanpa pengecualian terhadap sesiapa yang didapati bersalah.

Semalam, Malaysiakini melaporkan kertas pertuduhan itu telah disebarkan di media sosial berserta dakwaan yang ia ada kaitan dengan penamatan secara tiba-tiba perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara pada hari Isnin.

Walaupun sebab rasmi yang diberikan ialah masalah kesihatan, tetapi Abdul Gani sendiri nampaknya tidak tahu menahu mengenainya dan enggan mengulas sama ada ia ada kakitan dengan siasatan pasukan petugas khas terhadap 1MDB.

Lewat malam tadi, ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, melalui twitter, menafikan berhubung kertas pertuduhan itu.

Sementara itu, Mohamad Apandi berkata kertas pertuduhan yang didakwa itu, "tidak di dalam dan tidak pernah sampai" kepada jabatan tersebut.

Tambahan pula, katanya, format kertas tuduhan itu adalah tidak betul atau ditulis oleh jabatannya.

Peguam negara yang baru dilantik itu juga menegaskan bahawa memandangkan pasukan petugas khas itu belum menyelesaikan siasatan, maka tidak mungkin di segi perundangan, bagi kertas pertuduhan dirangka lebih awal.

Menurut kertas pertuduhan yang dikatakan itu, yang didakwa didraf oleh Abdul Gani, perdana menteri akan didakwa atas tuduhan rasuah, dengan tuduhan alternatif melakukan pecah amanah.

Ini dikatakan berkaitan dengan pemindahan RM27 juta oleh SRC International, yang ketika itu anak syarikat 1MDB, ke dalam akaun bank Najib.

Selain Abdul Gani yang ditamatkan perkhidmatannya sebagai AG, perkembangan pada minggu ini juga menyaksikan Najib menggugurkan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada kabinet.

Turut digugurkan ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal, yang merupakan bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah.

Kedua-dua Muhyiddin dan Shafie kritikal terhadap 1MDB.

Najib juga melantik empat daripada lapan ahli Parlimen BN yang menganggotai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), termasuk bekas pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, sebagai menteri dan timbalan menteri.

Ini mencetuskan spekulasi bahawa ia adalah satu percubaan untuk menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh PAC terhadap dalam 1MDB.

Saga 1MDB memuncak awal bulan ini selepas Sarawak Report dan Wall Street Journal, yang memetik maklumat yang diperolehi daripada sumber-sumber Malaysia, mendakwa bahawa RM2.6 bilion dana berkaitan 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

Berikutan itu, Najib menafikan menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan menuduh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di belakang usaha untuk menyingkirkannya dengan bekerjasama dengan pihak seperti Sarawak Report.

Pada hari Rabu, satu video muncul yang menunjukkan Muhyiddin memberitahu beberapa tetamu di rumahnya, termasuk anak Mahathir yang juga menteri besar Kedah, Datuk Mukhriz, mendakwa Najib mengaku wang itu dipindahkan ke dalam akaunnya.

Perdana menteri belum lagi mengulas mengenai video tersebut. yang telah tersebar luas.

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS