Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Panel SPRM tuntut 2 pegawai dikembalikan
Diterbitkan:  Aug 8, 2015 8:26 PM
Dikemaskini: 12:28 PM

Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) menuntut dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikembalikan ke jawatan sebelum ini dengan serta-merta bagi membolehkan mereka menjalankan tugas.

Mengakui terkejut dengan pertukaran itu, Pengerusi PPPR, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, pertukaran dibuat semalam pasti meningkatkan ketegangan keadaan sekarang.

"Malah, pertukaran ini akan mencetuskan lebih banyak persoalan berbanding jawapan, dan akan mewujudkan lebih banyak syak wasangka serta teori konspirasi," kata beliau dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Semalam Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Pertukaran serta-merta itu menyebabkan pelbagai pihak marah, termasuk di kalangan menteri sendiri.

Johan berkata, sebagai salah satu panel yang memantau perjalanan SPRM, PPPR menyokong saranan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mahu sebarang bentuk intimidasi terhadap pegawai SPRM dihentikan.

PPPR juga, kata Johan, memuji pendirian Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang menawarkan diri sebagai galang ganti bagi Bahri dan Rohaizad kerana kedua-dua mereka bertindak atas arahan beliau.

"Meskipun PPPR berpendapat bahawa pendirian Shukri ini sesuatu yang terhormat, tetapi tidak perlu sama sekali," katanya.

Lihat Komen
ADS