Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Apabila mengetahui anak ditangkap polis, ayah kepada Lee Chung Lun berkejar ke Pusat Tahanan Polis Jinjang awal pagi hari ini untuk menanti anaknya dibebaskan.

Jika ada yang bertegur sapa dengannya, beliau akan menjawab: "Semuanya baik, saya menyokong anak saya."

Namun, apabila tahu polis berjaya mendapat perintah reman pada kesemua 17 orang yang ditangkap semalam di depan parlimen, ayah Lee ternyata sakit hati.

"Ayah seumur hidup pun tidak pernah masuk penjara tetapi anak yang berkelakuan baik pula direman. Kerajaan ini tidak adil," katanya dengan nada suara yang marah.

Sambil berbicara, mata lelaki 51 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Lee itu mula bergenang air mata.

Si ayah juga berkata, beliau amat menyokong anaknya yang kini belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menyertai aktiviti bagi menyuarakan pandangan mahasiswa terhadap isu-isu negara.

"Saya jelas dengan tingkah laku anak saya di luar rumah kerana kami selalu ada mesyuarat keluarga," katanya.

Bimbang demam kerana berhujan

Walaupun anaknya direman, namun ayah ini berkata ia bukan satu masalah besar kerana anaknya tidak bersalah.

"Tidak ada apa nak takut walau direman. Hanya saya bimbang anak mungkin akan jatuh sakit kerana kelmarin dia kena hujan," katanya.

Si ayah juga berpendapat mahasiswa tidak patut hanya berada dalam universiti tetapi harus meluahkan suara dan pandangan mereka.

"Berilah kerajaan ini tekanan, biar mereka lihat mahasiswa pun tidak sokong mereka, kerajaan ini masih kekal untuk buat apa?" soal lelaki warga emas itu.

Lee bagaimanapun sedar bahawa sesetengah mahasiswa mungkin tidak berani tampil ke depan kerana mendapat tekanan daripada ibu bapa.

"Kebanyakan ibu bapa sering mengingati anak agar belajar bersungguh-sungguh dan jangan buat hal.

"Namun aktiviti (Occupy Parlimen) mereka sangat baik kerana ini bersangkut paut dengan masa depan kita semua," jelasnya.

Selain ahli keluarga penahan, orang awam turut berkumpul di luar Pusat Tahanan Polis Jinjang sejak pagi ini untuk memberi sokongan.

Lihat Komen
ADS