Ahli ekonomi berpendapat jumlah bantuan kerajaan yang kekal sama bagi keluarga berpendapatan rendah mungkin tidak menggambarkan tekanan kewangan sebenar mereka. Ini kerana kredit untuk membeli barangan dapur tidak boleh digunakan untuk membayar sewa, bil utiliti dan kos pengangkutan.

Ini selepas kerajaan dilaporkan akan mengurangkan bantuan tunai kepada keluarga berpendapatan rendah di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tahun depan. Pengurangan itu akan diimbangi dengan peningkatan kredit barangan dapur di bawah Sumbangan Asas Rahmah (Sara).

STR ialah bantuan tunai kepada isi rumah berpendapatan rendah, individu bujang dan warga emas tanpa pasangan. Sara pula ialah bantuan bulanan yang dikreditkan ke dalam MyKad penerima dan hanya boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan yang diluluskan di kedai yang mengambil bahagian.

Menurut soalan lazim Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenai STR tahun depan, bantuan tunai bagi keluarga berpendapatan kurang daripada RM2,500 akan dikurangkan sehingga RM600 setahun. Jumlah bantuan yang diterima setiap isi rumah bergantung pada pendapatan dan bilangan anak.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan bantuan kekal sama kerana bantuan Sara akan dinaikkan kepada RM1,800 setahun bagi kumpulan pendapatan ini. Penerima dikenal pasti melalui pangkalan data kemiskinan kerajaan, eKasih.

Samirul Ariff Othman berpendapat walaupun langkah kerajaan ke arah lebih banyak kredit dan kurang bantuan tunai tidak "secara automatik baik atau buruk" untuk sesbuah keluarga, ia mungkin tidak dapat menggantikan tunai yang dikurangkan bagi setiap isi rumah.

Pensyarah sambilan Universiti Teknologi Petronas itu berkata, persoalan utama ialah sama ada bantuan seumpama itu sesuai dengan corak perbelanjaan keluarga berpendapatan rendah. Menurutnya, bantuan Sara boleh membantu keluarga merancang perbelanjaan barangan dapur setiap bulan.

Jika sesebuah keluarga membelanjakan lebih daripada jumlah Sara yang diterima sekarang untuk barangan dapur yang layak, peningkatan kredit tahun depan boleh menggantikan sebahagian perbelanjaan tersebut. Ini membolehkan mereka menggunakan wang tunai untuk keperluan lain.

Bagaimanapun, Samirul berkata, kredit barangan dapur tidak dapat menggantikan tunai sepenuhnya. Wang tunai boleh digunakan untuk membayar sewa, bil elektrik, tambang pengangkutan ke tempat kerja dan kos pembaikan mendesak, sedangkan kredit barangan dapur tidak boleh digunakan untuk tujuan tersebut.

"Sebuah keluarga mungkin mempunyai kredit yang mencukupi untuk membeli barangan dapur tetapi pada masa yang sama bergelut untuk mendapatkan wang tunai bagi membayar tambang bas ke tempat kerja," katanya kepada Malaysiakini.

Akses dan masa boleh mengurangkan nilai bantuan

Samirul berkata, nilai sebenar kredit Sara turut bergantung pada tempat dan masa ia boleh digunakan. Jika penerima perlu pergi jauh untuk membeli barangan, berdepan kekurangan stok atau mendapati harga di kedai yang mengambil bahagian lebih mahal daripada kedai biasa mereka, nilai bantuan itu akan berkurangan.

Dia turut berkata, kerajaan perlu mengambil kira masa penerima memerlukan bantuan. Walaupun bantuan bulanan dapat menampung perbelanjaan harian, keluarga juga berdepan perbelanjaan besar yang tidak berlaku setiap bulan.

"Jumlah bantuan tahunan yang kekal sama tidak semestinya memberikan kelonggaran kewangan yang sama apabila bil perlu dibayar. Jumlahnya mungkin tidak berubah, tetapi kelonggaran kewangan tetap penting.

"Sara boleh menampung perbelanjaan barangan dapur, manakala wang tunai memberi keluarga ruang untuk menguruskan keperluan hidup yang lain," kata Samirul.

Geoffrey Williams turut berpendapat bahawa masalah utama bantuan berbentuk kredit ialah penerima tidak bebas menggunakannya mengikut keperluan sendiri.

"Wang tunai lebih baik kerana orang ramai bebas menggunakannya mengikut keperluan.

"Kredit mengehadkan pembelian kepada barangan dan kedai yang diluluskan. Sistem ini melayan penerima seperti kanak-kanak dan menyalurkan wang kepada kedai yang diluluskan kerajaan, bukannya kedai runcit kecil," katanya.

Reformasi berasaskan bukti

Bagi mengatasi masalah ini, Samirul mencadangkan pendekatan yang menggabungkan bantuan kredit dan tunai. Kredit Sara boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan, manakala bantuan tunai yang mencukupi membolehkan keluarga menguruskan perbelanjaan lain mengikut keperluan masing-masing.

Dia turut berkata, sebarang rancangan kerajaan untuk memperluas bantuan berbentuk kredit perlu berdasarkan bukti tentang corak perbelanjaan penerima, akses kepada kedai dan masalah kewangan yang dihadapi mereka.

Sementara itu, Geoffrey berpendapat kerajaan tidak perlu menukar bantuan tunai kepada kredit. Sebaliknya, bantuan bagi setiap kategori yang layak boleh dibayar setiap bulan dalam bentuk tunai.

"Jika kerajaan membayar jumlah bagi setiap kategori yang layak secara bulanan dalam bentuk tunai, itu lebih baik," katanya.

Dia turut mencadangkan agar bantuan diberikan kepada individu dan bukannya isi rumah. Menurutnya, langkah itu membolehkan wanita menerima bantuan secara langsung tanpa bergantung pada pasangan, selain memastikan individu bujang mendapat bantuan yang lebih adil.

Geoffrey, pengasas dan pengarah Williams Business Consultancy, sekali lagi menggesa kerajaan memperkenalkan sistem Pendapatan Asas Universal (UBI). Katanya, skim STR-Sara boleh diubah menjadi sistem bantuan sedemikian.

"Kita sedang bergerak ke arah itu secara perlahan-lahan, tetapi seperti biasa, tiada tekad politik untuk melaksanakannya dengan cepat dan betul," katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui bahawa Belanjawan Bayangan Bersama telah mencadangkan langkah ke arah mewujudkan sistem sokongan sosial sejagat itu.