Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebuah lagi NGO yang bercadang mahu mengadakan himpunan pada masa sama dengan BERSIH membuat keputusan menangguhkan dulu hasrat mereka.

Suara Bumiputera, membatalkan perhimpunan pada Sabtu dan Ahad ini di depan bangunan Umno Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bagi mengelak pertembungan dengan BERSIH 4.

“Himpunan tersebut dibatalkan kerana (kita) tak hendak timbul masalah pada hari kejadian.

“Kita takut tak dapat kawal keadaan,” kata Pengerusi Penganjur Suara Bumiputera Datuk Zulkarnain Mahdar kepada Malaysiakini .

Zulkarnain, keputusan itu dicapai NGO memperjuangkan masa depan golongan bumiputera itu dalam mesyuarat mereka semalam.

Suara Bumiputera menetapkan tarikh baru 29 dan 30 Disember ini, empat bulan daripada sekarang, di tempat sama.

50 tuntutan berkaitan bumiputera

Mereka merancang perhimpunan itu untuk menuntut kerajaan memberikan perhatian kepada masa depan bumiputera.

Perhimpunan itu, dinamakan "Himpunan Suara Bumiputera” dijadual dilancarkan di sebuah hotel di Petaling Jaya pagi esok.

Mereka merancang mengemukakan 50 tuntutan kepada kerajaan, berkaitan pelbagai isu termasuk agama, pendidikan, ekonomi dan harta tanah.

Sebelum ini, kumpulan anti-BERSIH Baju Merah mengugut berhimpun pada tarikh dan tempat sama dengan BERSIH sebagai tanda bantahan mereka pada gabungan proreformasi sistem pilihan raya itu.

BERSIH 4 akan berlangsung 34 jam bermula Sabtu ini di tiga kota besar, Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.

Ia berlangsung ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang berdepan isu derma RM2.6 bilion ke dalam akaunnya, kontroversi 1MDB serta kejatuhan teruk nilai ringgit.

Mengulas perhimpunan BERSIH, Zulkarnain berkata beliau menghormati tuntutan penganjur walaupun tidak menyokong penganjuran himpunan itu.

Lihat Komen
ADS