Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Punk Rumah Api jadi suspek kes politik
Diterbitkan:  Aug 30, 2015 8:14 PM
Dikemaskini: 2:20 PM

Peguam, Haijan Omar berkata kumpulan individu yang ditahan di pentas muzik independen Rumah Api pada Jumaat malam lalu kini menjadi suspek bagi kes politik.

Katanya, kesemua 113 individu berkenaan juga disiasat berhubung kesalahan memudaratkan demokrasi berparlimen, bawah Seksyen 124(b) Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan.

"Selain itu, polis juga menjalankan siasatan mengikut Seksyen 143 berhubung kesalahan perhimpunan haram dan juga enakmen hiburan berhubung kesalahan permit," kata Haijan kepada Malaysiakini.

Menurutnya, kumpulan itu melibatkan pengunjung, pemuzik dan juga pengendali Rumah Api yang kini ditahan reman sejak semalam.

Haijan juga berkata, ada kemungkinan nama persembahan pada malam itu yang menyebut perkataan "revolusi" menorong pihak berkuasa melakukan serbuan.

Siasatan polis juga dibuat berdasarkan grafiti dan bahan penerbitan yang ditemui di unit rumah kedai di Pekan Lama Ampang itu.

Antara yang ditahan adalah tiga orang pemuzik warga asing yang membuat persembahan semasa operasi dijalankan, Jumaat malam lalu.

Haijan berkata, individu berkenaan perlu dilepaskan secepat mungkin kerana pemuzik itu tidak mungkin terlibat dengan sebarang kegiatan politik di Malaysia.

Menurutnya, pegawai penyiasat kes tersebut ASP Jaswant Singh memberi jaminan bahawa individu berkenaan akan dilepaskan secepat mungkin.

Lihat Komen
ADS