Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BERSIH tanda pagar untuk menteri salah alamat
Diterbitkan:  Sep 7, 2015 1:55 PM
Dikemaskini: 7:00 AM

Entah serius atau tidak, BERSIH hari ini meletakkan kain rentang di pagar pejabatnya bagi memudahkan seorang menteri kabinet mengecamnya.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik oleh pengerusinya Maria Chin Abdullah, pagar pejabat mereka di Petaling Jaya ditandakan dengan tulisan "BERSIH 4".

Malah, diletakkan juga anak panah merah besar menunjukkan nombor pejabat mereka.

"(Datuk) Rahman Dahlan – kalau-kalau kamu tak jumpa pejabat BERSIH lagi. Maaf, tiada permaidani merah," katanya dengan nada menyindir.

Sabtu lepas, hasrat Rahman, menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan, untuk menempelak BERSIH bertukar jenaka luar jangka.

Ia berlaku apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghantar notis tuntutan kos pembersihan RM65,000 ketika perhimpunan BERSIH 4 ke alamat salah.

Rahman pada mulanya menulis Tweet menyebut premis itu sebagai berkunci, terbiar dan “tak nampak bersih langsung” sambil memuat naik gambar itu ke Internet.

Kesilapan itu bagaimanapun cepat disedari aktivis BERSIH 2.0.

Salah seorang daripada mereka, Zoe Randhawa membalas tweet Abdul Rahman: "Salah rumahlah!”

Abdul Rahman sebelum ini menuntut penganjur BERSIH 4 membayar kos pembersihan sekitar tapak perhimpunan yang berlangsung selama 34 jam pada 29 dan 30 Ogos lalu

Bil berkenaan, kata Abdul Rahman, tidak termasuk kerugian akibat kerosakan harta awam sepanjang perhimpunan berlangsung.

Bagaimanapun Pengerusi BERSIH 2.0 Maria berkata mereka tidak akan membayarnya dan akan membawa kes itu ke mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS