Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali diminta agar "berpijak pada realiti semasa" di negeri itu dan tidak mengelak daripada membincangkan format baru gagasan politik bagi mengelak kecurigaan rakyat.

Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Shazni Munir Mohd Ithnin berkata pendekatan Azmin dilihat seperti suatu eskapisme dan ia hanya menyebabkan orang ramai berasa sangsi kepada ketulusan politik Azmin.

Katanya, politik menuntut kejujuran dalam berkawan dan bekerjasama.

Jika itu difahami dengan cermat oleh Azmin, katanya, ADUN Bukit Antarabangsa berkenaan tidak akan mudah menyatakan "tiada Pakatan Harapan di Selangor" seperti sebelum ini.

"Azmin memerlukan sokongan parti lain untuk menyelesaikan beberapa perkara yang membayangi pentadbiran beliau sehingga kini.

"Dalam kemelut polisi yang tidak disudahkan dengan baik oleh beliau, Azmin memerlukan kawan yang boleh membantu, bukan meramaikan seteru," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Pagi tadi delegasi AMANAH bertemu Azmin di pejabatnya tetapi setiausaha agung parti itu, Anuar Tahir memberitahu, tiada perbincangan mengenai hala tuju Pakatan Harapan dibuat.

Berlangsung positif

Sebaliknya, kata Anuar kepada Malaysiakini , pihaknya hanya membuat kunjungan hormat ke atas menteri besar berkenaan dan pertemuan berlangsung lebih sejam.

Shazni berkata, antara isu yang dilihat boleh menyukarkan pentadbiran kerajaan negeri ketika ini ialah Darul Ehsan Investment Group (DEIG), cadangan pembinaan tiga lebuh raya serta rancangan kenaikan tarif air di Selangor.

Sementara itu Azmin Ali menasihatkan pimpinan AMANAH supaya menghentikan kritikan keras terhadap pentadbiran kerajaan Selangor.

Membuat kenyataan melalui setiausaha politiknya, Shuhaimi Shafie ( gambar ), Azmin berkata semua pandangan tidak menguntungkan rakyat perlu diketepikan.

"Marilah duduk berbincang," katanya.

ADUN Sri Muda itu berkata pertemuan pagi tadi membincangkan perihal pentadbiran kerajaan negeri, di samping strategi bagi memenangi pilihan raya umum akan datang.

Kata Shuhaimi, delegasi AMANAH diketuai presidennya Mohamad Sabu, Anuar, Dr Dzulkefly Ahmad (pengarah strategi) dan Khalid Samad (pengarah komunikasi).

Shuhaime berkata, pertemuan tersebut adalah bagi menyatakan sokongan pihak berkenaan kepada kepimpinan Azmin.

"Menteri besar menghargai sokongan bulat AMANAH yang dinyatakan dengan jelas oleh presiden parti itu.

"Perbincangan berlangsung lebih satu jam itu berjalan secara sangat positif," katanya.

Lihat Komen
ADS