Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata harga ubat-ubatan dijangka turun dari masa ke semasa di kebanyakan negara dengan pemansuhan halangan dagangan.

Beliau berkata walaupun Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) melindungi hak intelektual syarikat farmaseutikal, ia juga melindungi akses kepada ubat generik murah bagi kumpulan yang berpendapatan rendah.

Beliau berkata perlindungan untuk ubat pembuat penting untuk inovasi, jika tidak, tiada siapa yang mahu melabur dan membangunkan ubat-ubatan yang lebih baik.

"Oleh itu, kami kata kita perlu melindungi beberapa. Tetapi kami sangat jelas dalam bab mengenai ini untuk mengatakan bahawa kita perlu melindungi (ubat) generik bagi orang berpendapatan rendah, untuk itu - sebenarnya, kita perlu menghapuskan tarif ke atas beberapa perkara seperti penisilin dan ubat-ubatan asas yang telah berada di pasaran dalam masa yang sangat lama.

"Dan dari masa ke masa, kami benar-benar percaya bahawa harga ubat-ubatan akan turun dalam banyak negara yang kini mempunyai banyak halangan dari segi ubat-ubatan," katanya.

Bagaimanapun Malaysia kini tidak mengenaikan sebarang tarif berkaitan import ubat-ubatan.

Beliau berkata demikian pada sesi Townhall bersama alumni Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) Kampus Taylor's University Lakeside, di Subang Jaya, pada Jumaat.

Beliau berkata ketika ini, banyak syarikat-syarikat ubatan di Amerika Syarikat marah kepadanya kerana mereka kata mereka tidak lagi dilindungi.

[Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan Obama yang tiba di Malaysia untuk Sidang Kemuncak ASEAN kali ke-27 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di Kuala Lumpur juga berkata, dalam setiap rundingan dagangan, ada perkara yang perlu dilepaskan oleh setiap negara bagi menjayakan perjanjian perdagangan.

"Sebagai contoh, kita perlu membuka beberapa pasaran kepada barangan yang sebelum ini tertakluk kepada tarif, dan ada pihak dalam negara kita tidak sukakannya (namun), secara keseluruhannya, ia baik dan ia mungkin sangat bermakna kepada Malaysia.

“Dan seterusnya, kita dapat menjual sesuatu kepada Malaysia, dan seseorang di Malaysia tidak sukakannya. Inilah bentuk rundingan dalam perjanjian perdagangan," katanya.

Selain itu, ekonomi pasaran sebagai contoh, beliau berkata sudah terbukti bahawa ekonomi pasaran adalah penjana terbaik kekayaan dunia, namun ia memerlukan campur tangan kerajaan bagi memastikan saingan yang sihat, dan perniagaan kecil tidak terpinggir akibat monopoli, manakala ada kumpulan pekerja yang mendapat perlindungan asas.

"Inilah bentuk keseimbangan yang terkandung dalam TPPA (yang) juga membuktikan dasar saya di AS dan di peringkat antarabangsa," kata Obama.

Menyentuh mengenai industri farmaseutikal, beliau berkata terdapat beberapa perlindungan yang diberikan ke atas ubat generik, terutama untuk rakyat berpendapatan rendah, termasuk pemansuhan tarif bagi sebahagiannya, seperti penisilin dan ubat asas yang sudah berada dalam pasaran untuk tempoh masa yang panjang.

"(Dan) kami percaya sepenuhnya bahawa kos ubat-ubatan sudah menurun di kebanyakan negara yang kini mengenakan banyak halangan ke atas ubat-ubatan terbabit.


Nota Editor: Malaysiakini sebelum ini melaporkan Obama berkata harga ubat yang dipatenkan akan naik. Kami kesal dengan kesilapan kami.

Lihat Komen
ADS