Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi: Semakan taraf bukti Najib sia-sia ‘tekan’ rakyat
Diterbitkan:  Jan 11, 2016 5:20 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Tindakan agensi penarafan kewangan dunia Moody's Investors Service yang menyemak prospek ekonomi Malaysia dari ‘positif’ kepada ‘stabil’ menunjukkan bahawa pendekatan ekonomi konvensional oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mempertaruhkan kebajikan rakyat adalah sia-sia, kata Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.

Katanya, walaupun Najib tunduk kepada tekanan agensi-agensi antarabangsa untuk melaksanakan dasar-dasar ekonomi anti-rakyat seperti pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan penghapusan subsidi, namun ia gagal menghalang Moody’s dari menyemak semula prospek unjuran ekonomi negara.

“GST telah dilaksanakan selama lebih sembilan bulan dan lebih RM30 bilion telah dikutip dari rakyat.

“Hampir keseluruhan dari subsidi yang sebelum ini dinikmati rakyat telah dihapuskan semuanya termasuklah subsidi petrol dan diesel,” katanya dalam satu kenyataan.

“Beliau juga memotong peruntukan-peruntukan penting untuk pendidikan dan biasiswa di dalam belanjawan 2016 yang dibentangkan Oktober 2015 lalu.

“Malangnya, semua dasar-dasar anti rakyat ini yang menyebabkan beban sara hidup rakyat naik berganda.

“Mahasiswa terpaksa mengikat perut, rakyat melakukan lebih dari satu kerja untuk menampung kenaikan harga dan lain-lain kepayahan – tidak pun berjaya menghalang Moody’s dari menurunkan prospek ekonomi Malaysia dari positif kepada stabil,” katanya.

Moody's hari ini mengesahkan penarafan bon tidak bercagar senior dan penerbit Kerajaan Malaysia pada A3 dan menukar prospek kepada stabil daripada positif.

Dalam satu kenyataan, Moody's berkata ia juga mengesahkan penarafan tidak bercagar senior A3 kepada sijil amanah dolar AS yang diterbitkan oleh Malaysia Sovereign Sukuk Bhd, perantara tujuan khas yang ditubuhkan kerajaan Malaysia.

Perkhidmatan Pelabur Moody hari ini menyemak semula unjuran negara Malaysia daripada 'positif' kepada 'stabil' dan mengesahkan penerbit kerajaan Malaysia dan penarafan bon tidak bercagar kanan di A3.

Moody's berkata sijil amanah ini dianggap obligasi langsung kerajaan Malaysia dan penarafan ini secara automatik mencerminkan perubahan kepada penarafan negara Malaysia.

Mengenai langkah penarafan, Moody's mengesahkan penarafan instrumen bagi hutang tidak bercagar senior yang diterbitkan Khazanah Nasional Bhd pada A3.

Lihat Komen
ADS