Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dakwaan perkauman: Guru Besar sekolah Cina dipindah ke PPD
Diterbitkan:  Jan 15, 2016 5:49 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Guru Besar sebuah sekolah rendah di Mersing, Johor yang didakwa terbabit dalam serangan berbaur perkauman terhadap seorang guru Melayu telah dipindahkan ke pejabat pendidikan daerah (PPD), kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya, satu pasukan khas juga ditubuhkan untuk menyiasat kejadian dan isu berkenaan.

“Guru Besar ditempatkan sementara di PPD sehingga siasatan selesai.

“Tiga orang guru Melayu yang terlibat akan digerakkan keluar dari sekolah terbabit,” katanya di laman Facebook hari ini.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya terus bertenang dan tidak mengganggap apa yang berlaku sebagai satu isu perkauman.

Katanya, kes seumpama itu jarang berlaku dan laporan penuh dijangka siap dalam tempoh tiga hari bermula dari tarikh siasatan awal.

Salina Daud, seorang guru di SJKC Pai Chee, Mersing, Johor, membuat laporan polis semalam selepas mendakwa seorang lelaki menyerbu masuk bilik guru dan menyerangnya.

Dakwanya, lelaki itu iaitu bapa kepada seorang murid melemparkan buku serta peralatan pengajaran ke arahnya.

Menurut laporan polis Salina itu, ketika mengajar di kelas, 5 Januari lalu, anak lelaki itu telah mengutuknya dalam bahasa Cina.

Dia kemudian mengadu kepada guru kelas murid mengenai kejadian tersebut tetapi mendakwa tiada tindakan diambil.

"Saya tidak gembira kerana pentadbiran sekolah tidak melindungi saya sebagai seorang guru di sekolah," katanya.

Salina juga mendakwa ini bukan kali pertama kejadian seperti itu berlaku dan menuduh guru besar sekolah berkenaan sebelum ini cuba memaksanya meletakkan jawatan atau memindahkannya dan dua orang guru Melayu yang lain.

Dia juga mendakwa guru besar sekolah itu berkata bahawa masyarakat Cina di kawasan itu tidak mahu guru-guru Melayu mengajar di sekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, M Kumar memberitahu Malaysiakini kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, tidak ada sentuhan fizikal atau kecederaan dalam kejadian itu.

"Ini tidak seharusnya dijadikan isu perkauman. Ia hanya kebetulan bahawa guru itu berbangsa Melayu dan bapa murid itu adalah Cina.

"Siasatan awal mendapati bapa murid itu kecewa kerana guru itu memarahi anaknya," katanya kepada Malaysiakini .

Pihak sekolah tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasannya. Guru Besar menamatkan panggilan sebaik sahaja mengetahu sedang bercakap dengan wartawan.

Lihat Komen
ADS