Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Najib akan berjaya tapi belum tentu kekal PM’

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin tidak menolak kemungkinan Datuk Seri Najib Razak akan berjaya menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah.

Sambil mendakwa perdana menteri sebagai dalang di sebalik usaha itu, katanya tindakan itu hanya akan menggugat masa depan Umno-BN di Kedah.

Menurutnya, ini kerana kemenangan Umno-BN di Kedah pada pilihan raya umum ke-13 lalu adalah kerana imej Mukhriz serta rakyat mahu kepimpinan baru dan yang lebih muda di negeri jelapang padi itu.

“Dia (Najib) kena ingat ia bukan jaminan sebaliknya menempah masa depan yang lebih menggugat Umno-BN di Kedah.

“Kerana rakyat pada keseluruhannya bersimpati dengan nasib Mukhriz, sebab rakyat memberikan kemenangan kepada BN pada PRU lalu kerana telah menerima Mukhriz sebagai menteri besar.

“Kemenangan BN kerana imej Mukhriz dan bukan hanya kerana ayah dia tetapi rakyat mahu kepimpinan baru dan yang lebih muda di Kedah,” kata Zainuddin ketika dihubungi.

Semalam, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memulakan perang terbuka terhadap Mukhriz dengan mengisytiharkan bahawa pemimpin Umno di negeri itu telah 'hilang keyakinan' dengan kepimpinan menteri besar Kedah.

Muka-muka tua

Beliau juga menggesa Najib supaya untuk campur tangan dan menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar.

Mengulas lanjut, Zainuddin yang juga adalah bekas ketua pengarang Utusan Malaysia berkata, Umno-BN belum tentu akan dapat menguasai Kedah sekiranya parti pemerintah itu menampilkan muka-muka tua pada pilihan raya umum lalu.

“Kalau penampilan muka-muka tua yang ada sekarang ini saya tak fikir masa depan Umno-BN akan lebih terjamin,” katanya.

Mengenai rasional di sebalik tindakan ke atas Mukhriz itu, Zainuddin berkata selain mahu mengukuhkan kedudukannya sebagai perdana menteri ia juga adalah tindakan membalas dendam Najib terhadap segala perbuatan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu menumbangkannya.

“Ini adalah satu langkah Najib untuk pastikan kedudukan beliau terjamin dan beliau (Najib) rasa dengan berbuat demikian dalam keadaan sekarang dia lebih kuat daripada dulu.

“Tak perlu cakap pun ini, semua orang tahu ini sebagai membalas dendam.

“Kita dah nampak dan juga nak padankan muka Mahathir. Tapi Mahathir tak hairan dengan semua ini,” kata Zainuddin sambil menambah bekas perdana menteri itu tidak akan berdiam diri.

Tak boleh tutup mulut

Bagaimanapun beliau percaya dalam soal usaha untuk menyingkirkan anaknya itu, Mahathir akan membiarkan rakyat membuat keputusan yang sewajarnya.

“Dia (Mahathir) tidak akan komen dan akan diam kerana beliau percaya rakyat lebih layak untuk menghukum tindakan Najib dalam perkara ini daripada dia bercakap.

“Kalau Mahathir bercakap pun ia tidak akan memberi apa-apa faedah.

“Untuk tutup mulut Mahathir ini dia mungkin boleh tutup dalam soal Muhriz tetapi banyak perkara lagi yang beliau akan bangkitkan dan semua orang tahu tak boleh tutup mulut Mahathir ini,” kata Zainuddin.

Lihat Komen
ADS