Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) hari ini meminta supaya tindakan disiplin dikenakan ke atas ketua-ketua bahagian yang menyatakan pendirian 'hilang keyakinan' terhadap kepimpinan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pengerusinya, Kamarulazman Habibur Rahman berkata, sebelum ini, sembilan ketua cawangan Umno Teluk Kemang digantung hak ahli Umno selama enam tahun kerana mendesak presiden parti Datuk Seri Najib Razak berundur.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya parti tersebut mengambil tindakan sama ke atas ketua-ketua bahagian yang hadir pada sidang media di Alor Star semalam.

"Kami mahu supaya mereka juga diambil tindakan oleh tribunal disiplin parti.

"Tak boleh amalkan pilih kasih dalam membuat keputusan. Apa yang kami mahu di sini ialah keadilan yang saksama.

"Jika ketua cawangan Teluk Kemang dijatuhi hukuman sehingga enam tahun, kami mahu enam tahun juga dijatuhi pada semua yang ada di Alor Star semalam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi bangunan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.

Sebelum itu, satu memorandum berhubung hal sama diserahkan kepada Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusuf.

Ketika memorandum diserahkan, Abdul Rauf hanya berkata:

"Saya terima dan akan panjangkan pada setiausaha agung untuk tindakan lanjut," katanya ringkas.

Selain itu, Kamarulazman juga mempertikaikan sebab yang dikemukakan oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah untuk menyingkirkan Mukhriz.

"Kami nak tanya, berdasarkan apa yang mengatakan Mukhriz gagal sebagai pengerusi perhubungan Umno dan pemimpin negeri? Apa penanda aras?

"Adakah ini untuk membunuh karier politik Mukhriz?" soalnya.

Semalam, Ahmad Bashah berkata pemimpin Umno di negeri itu telah hilang keyakinan dengan kepimpinan Mukhriz.

Ahmad Bashah juga menyenaraikan empat sebab yang dikatakan sebagai punca kehilangan keyakinan Umno Kedah terhadap Mukhriz.

Perkara itu ialah iaitu dakwaan kegagalan menyatukan parti, kekurangan perancangan strategik menghadapi pilihan raya umum akan datang, kegagalannya menggerakkan jentera serta ketidakupayaan mentadbir negeri dengan berkesan.

Beliau turut menggesa Najib untuk campur tangan dan menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar.

Lihat Komen
ADS