Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pemuda PAS Kelantan seperti anak menyusu'
Diterbitkan:  Jan 31, 2016 6:00 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menganggap Ketua Pemuda PAS Kelantan Fadli Shaari seperti anak kecil yang masih menyusu dan "berteriak ketakutan" disebabkan gagal memahami isu yang dibawanya.

Menurut Husam, selain gagal menarik minat anak muda kritis Fadli juga gagal mempamerkan sikap pemuda Islam yang menilai sesuatu berdasarkan kebenaran dan bukan asobiyyah kelompok.

"Di bawah konsep accountability (pertanggungjawaban) yang juga satu daripada teras (konsep) Membangun Bersama Islam, seseorang pemimpin perlu memikul kesan kegagalan tindakannya, apa lagi bila tindakan itu diambil secara bersendirian dan tidak dirujuk pada organisasi," kata Husam dalam kenyataan dimuat naik petang ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi kepada gesaan Fadli supaya Husam meletak jawatan sebagai Adun Salor dan Yang Dipertua PAS Kubang Kerian kerana tidak lagi membantu mengukuhkan kerajaan dan parti.

Terdahulu Husam menyarankan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan ( gambar, tengah ) meletak jawatan kerana gagal membawa usul pindaan Akta 355 di parlimen.

Melalui rang undang-undang persendirian yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu PAS berharap parti berkenaan mendapat lebih banyak ruang memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Husam adalah bekas exco kanan Kelantan yang diketepikan di peringkat negeri dan pusat oleh kumpulan konservatif yang kini menguasai PAS.

Kenyataan itu dibuat ketika menghadiri sebuah forum di Kota Bharu malam kelmarin.

Rosakkan pelan asal

Panel lain dalam forum itu ialah Timbalan Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Che Ibrahim Mohamed, Ketua Exco Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wan Ji Wan Yusoff dan pakar undang-undang yang juga ahli DAP, Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Kata Husam, melalui pelan pelaksanaan undang-undang syariah Jawatan Kuasa Teknikal Bersama Negeri dan Pusat, tidak ada cadangan rang undang-undang persendirian 355 diputuskan untuk dibawa ke parlimen.

"Ini bermakna apabila ada individu yang mempengaruhi Presiden PAS membawa usul persendirian itu dan langsung tidak dirujuk kepada parti terlebih dahulu, mereka perlu bertanggung jawab atas kegagalan rang undang-undang itu.

"Bahkan, membawa usul secara pramatang telah melenyapkan atau merosakkan pelan asal," katanya.

Menurut Husam, "tindakan tergesa-gesa" membawa rang undang-undang itu lebih bersifat riyak dan agenda peribadi.

"Sudah hampir setahun berlalu sejak usul persendirian itu difailkan tetapi ternyata hingga kini, ia gagal dibentangkan.

"Ini menunjukkan, tidaklah rugi jika tindakan itu ditangguhkan pada masa itu dan dibincangkan secara lebih masak dan diputuskan secara kolektif," katanya.

Justeru secara berkias Husam menganggap Fadli seperti anak kecil yang "belum lepas susuan dan berteriak takut-takut botol susuannya tidak bersambung".

"Saya hairan, jika Ketua Pemuda PAS (Kelantan) berani, kenapa beliau tidak hadir mewakili kerajaan negeri dalam forum itu," katanya.

Lihat Komen
ADS