Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Selangor (PAC) membatalkan lawatan ke Mesir kerana ia tidak memberi sebarang faedah kepada rakyat dan Kerajaan Selangor.

Beliau berkata, lawatan ke Mesir itu adalah sama sepertimana lawatan Kerajaan Melaka ke Amerika Syarikat baru-baru ini yang sekadar menghabiskan wang rakyat.

"Apa faedah yang akan diperolehi oleh PAC Selangor daripada hasil lawatan ke Mesir nanti? Saya melihat ini semua hanyalah untuk berseronok semata-mata," katanya.

Beliau berkata, daripada lapan hari lawatan tersebut, hanya sehari sahaja mempunyai aturcara rasmi iaitu melawat Parlimen Mesir pada 24 Januari ini.

Rombongan anggota PAC Selangor itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 22 Januari dan pulang pada 30 Januari ini.

Mereka yang menyertai lawatan itu termasuklah Ketua Audit Negeri Selangor, Ungku Arfah Ungku Tahir; Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Nawawi Mohd Zin dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Bagaimanapun, daripada 11 orang yang menyertai lawatan tersebut, hanya lima sahaja yang menjadi anggota PAC.

Campurtangan Parlimen

Adun DAP Sekinchan, Ng Suee Lim yang turut menganggotai PAC turut ditawarkan menyertai lawatan tersebut tetapi beliau menarik diri setelah diarahkan oleh pihak parti itu.

"Ini lawatan yang membuang wang rakyat. Baru-baru ini Kerajaan Melaka melawat Amerika Syarikat, kini PAC Selangor pula mengikut jejaknya," katanya lagi.

Di Kaherah, mereka akan menginap selama tiga hari dua malam di Hotel Sheraton Gazirah Hotel yang bertaraf lima bintang, manakala di Sinai pula, anggota rombongan akan menginap dua hari satu malam di Hotel Cathrine Plaza yang bertaraf empat bintang.

Lim mempersoalkan tujuan lawatan anggota PAC Selangor ke Mesir kerana menurutnya sistem pemerintahan Mesir tidak sama dengan Malaysia.

"Mesir bukan anggota Komanwel, demokrasi yang diamalkan mereka juga tidak sama dengan negara kita," tanyanya.

Beliau berkata, PAC diwujudkan untuk mencegah penyelewengan kewangan jabatan kerajaan tetapi kini mereka sendiri yang melakukannya.

"Macam mana hendak lawan penyelewengan jika kamu sendiri yang membuat salah," katanya.

Kata Lim lagi, Parlimen perlu campurtangan jika lawatan PAC itu diteruskan kerana ketelusan PAC perlu dilindungi supaya tugasnya memantau kira-kira kewangan jabatan kerajaan berkesan.