Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shahrizat geleng kepala lihat Rafidah
Diterbitkan:  Feb 5, 2016 4:00 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagaikan menempelak bekas pemimpinnya, Tan Sri Rafidah Aziz yang didakwa menyimpang daripada nasihat yang selalu diberikan suatu ketika dulu.

Shahrizat yang menulis di Facebook berkata, kenyataan Rafidah itu tidak mengikut nasihat yang selalu diberikan sebelum ini, iaitu sentiasa taat dan patuh kepada pemimpin.

“Saya amat hairan dan geleng kepala melihat membaca posting beliau. Selama 22 tahun Tan Sri Rafidah memimpin Wanita, kami sering diingatkan supaya sentiasa disiplin dan taat patuh kepada kepimpinan parti terutama kepada presiden.

“Prinsip ini seolah-olah telah digadai (apabila) kini beliau pula secara terang menyangkal kepimpinan Presiden Umno dan membuat pelbagai persepsi dan andaian terhadap isu yang berlaku di dalam parti dan kepimpinan negara,” kata Shahrizat.

Kenyataan penasihat khas kepada perdana menteri itu dibuat bagi mengulas kenyataan Rafidah semalam.

Rafidah yang juga bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri berpendapat kemelut politik di Kedah ekoran penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar menggambarkan ketamakan sesetengah pihak terhadap jawatan dan kuasa.

Wanita tak mudah goyah

Malah Rafidah yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Wanita Umno itu berkata sesebuah parti politik boleh hancur disebabkan sikap mengejar pangkat dan kuasa.

Rafidah sudah beberapa kali tampil membuat teguran terbuka mengenai corak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Langkah itu dilihat seolah-olah menunjukkan beliau berpihak kepada bapa Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelas Shahrizat, Rafidah yang dikenalinya kini seakan-akan terjebak dengan permainan pembangkang bagi melemahkan parti Melayu itu.

“Sayang seribu kali sayang, Tan Sri Rafidah yang dulu kebal dengan prinsip, kini seakan terjebak dengan permainan pembangkang untuk melemahkan parti,” katanya.

Kata Shahrizat, Wanita Umno akan terus istiqamah memegang prinsip kesetiaan dan menyokong kepimpinan Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia.

Langkah itu, katanya, dibuat kerana Najib amat mengambil berat tentang perjuangan parti dan menjaga rakyat dengan baik "di kala seluruh dunia menghadapi cabaran".

“Kesetiaan Wanita Umno kepada presiden dan parti tidak mudah digoyah,” katanya.

Lihat Komen
ADS