Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gerakan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) mengesahkan pihaknya kini dalam proses melobi supaya semua ketua Umno cawangan mengemukakan usul mendesak Datuk Seri Najib Razak berundur daripada jawatannya sekarang dan mengadakan pemilihan parti secepat mungkin.

Pengerusinya, Kamarulazman Habibur Rahman berkata langkah tersebut diambil bagi menyahut cabaran Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya ahli akar umbi mengemukakan usul tersebut sekiranya hilang keyakinan terhadap Najib.

“Ya, itu (gerakan melobi cawangan seluruh negara membawa usul mendesak Najib berundur) dalam perancangan kami. Langkah tersebut juga dibuat untuk semua cawangan di seluruh negara menyatakan pendirian mereka.

“Ini kerana, Umno cawangan telah dicabar oleh setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan yang berkata, kalau tak yakin (pada presiden Umno) maka jalan yang paling baik adalah kemukakan usul,” katanya ( gambar ) kepada Malaysiakini .

Mengulas lanjut Kamarulazman berkata beliau tahu usaha tersebut akan disekat di peringkat bahagian.

Walaupun begitu Kamarulazman yakin keinginan mereka dikongsi bersama oleh sebahagian ahli Umno.

Malah, Kamarulazman yang juga Ketua Cawangan Umno Taman TKK berkata ahli parti itu akan menggunakan kewarasan mereka untuk bertindak.

“Kami tahu usaha kami akan disekat oleh ketua bahagian di mana setiap ketua cawangan ini akan panggil bagi memastikan tidak ada gerakan sedemikian dilakukan.

“Kami pasti ahli ada kewarasan mereka sendiri untuk berbuat demikian dan pandangan mereka akan dibawa ke peringkat bahagian kerana hanya saluran itu sahaja yang kami ada," katanya.

Tegas Kamarulazman lagi beliau tidak pernah mengapi-apikan atau menghasut ahli di peringkat akar umbi supaya membuat usul terhadap Najib namun keinginan itu tetap muncul dari semasa ke semasa.

“Ada cadangan kemuka usul untuk presiden berundur tapi masalahnya ia tidak lepas ke peringkat bahagian.

"Kami akan pastikan usul ini dibawa ke bahagian,” tegas Kamarulazman.

Najib ketika ini berada dalam situasi yang sangat mencabar selepas terpalit dengan pelbagai dakwaan salah laku sehingga wujud desakan dari dalam dan luar Umno untuk berundur.

Malah, usaha tersebut diteruskan dengan 13 cawangan Umno dalam bahagian Teluk Kemang, Negeri Sembilan menggesa supaya Najib meletakkan jawatan.

Kumpulan itu yang diketuai oleh Kamarulazman sendiri berkata, sebagai pemimpin akar umbi beliau tidak berniat untuk menghukum presiden parti berhubung isu yang melanda negara ketika ini.

Sebaliknya, pengunduran Najib perlu dilakukan bagi memastikan Umno tidak menjadi mangsa keadaan oleh pengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Lihat Komen
ADS