Umno Terengganu sudah bersedia untuk berdebat dengan PAS mengenai cukai pintu dan mencadangkan ia diadakan pada minggu pertama Mac ini.

Menurut Ketua Penerangan Umno Terengganu, Ahmad Shabery Chik, debat tersebut mahu diadakan di Kompleks Seri Iman, Bukit Besar Kuala Terengganu.

"Sukar untuk mengadakan debat pada bulan ini (Februari) memandangkan kesibukan menghadapi perayaan Tahun Baru Cina serta Konvensyen Umno Terengganu pula akan diadakan pada 25 dan 26 Februari ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Malam tadi, Perhubungan Umno Terengganu mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pendebatan tersebut yang dipengerusikan oleh Setiausaha Perhubungan Umno negeri, Rosol Wahid. Pengerusi Umno negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh tidak dapat hadir kerana ada tugasan lain.

Ahmad Shabery berkata, Umno Terengganu menyokong debat tersebut diteruskan dan beliau membuat persiapan supaya ia berjalan dengan penuh kesopanan.

Mesyuarat itu juga memutuskan Ahmad Shabery dan Exco bagi Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Ahmad Said sebagai mewakili Umno di debat tersebut.

Ahmad Shabery berkata, beliau difahamkan wakil PAS ialah Ketua Penerangan PAS Terengganu, Datuk Yahya Ali dan bekas Exco yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut.

Direstui Menteri Besar

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman tersebut meminta PAS memilih Datuk Wan Mutalib Embong sebagai wakilnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bekas Exco Kerajaan Tempatan semasa PAS memerintah Terengganu.

Beliau sendiri beberapa hari sebelum itu, telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar yang turut merestui debat tersebut diadakan.

"Mesyuarat itu memutuskan debat tersebut diadakan di Kompleks Seri Iman, Bukit Besar Kuala Terengganu. Kita berpendapat tempat ini lebih sesuai berbanding Stadium Sultan Ismail yang dicadangkan oleh PAS," katanya.

Beliau berkata, formatnya adalah seperti pendebatan calon Presiden Amerika Syarikat iaitu wakil PAS dan wakil Umno berada di atas pentas, manakala penyokongnya bebas bertanya wakil berkenaan.

Mengenai dakwaan Ketua Penerangan PAS Terengganu Yahaya Ali bahawa Umno takut untuk mengadakan debat tersebut, Ahmad Shabery berkata: "Jangan terlalu ghairah dan jangan cepat melatah."

Beliau juga meminta Yahya atau PAS supaya jangan berdebat melebihi skop yang telah dipersetujui, iaitu soal cukai pintu di Terengganu.

Isu debat ini tercetus apabila Ahmad Shabery mendakwa PAS Terengganu memutarbelitkan soal cukai pintu untuk memburuk-burukkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri.

Pertemuan kedua

PAS juga dakwa beliau mahu mengadakan demontrasi dan menaikkan sepanduk di seluruh negeri bagi membantah tindakan Kerajaan Terengganu mengenakan semula cukai pintu mulai tahun ini.

Semalam, Yahya dilaporkan sebagai berkata, PAS mahu Umno Terengganu segera menetapkan tarikh pertemuan kali kedua antara kedua-dua parti itu bagi memastikan debat mengenai isu cukai pintu menjadi kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya telah menghubungi pejabat Perhubungan Umno Negeri beberapa hari lalu tetapi mendakwa tiada usaha bersungguh-sungguh dari Umno untuk mengadakan pertemuan kali kedua itu.

"Berhubung debat cukai pintu, saya nak respon kenyataan terbaru kerajaan negeri melalui laman webrasmi kerajaan di mana Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh menyatakan PAS tidak bersedia dan tidak ikhlas untuk berdebat khususnya berhubung isu cukai pintu.

"Kenyataan itu saya fikir sangat tidak bertanggungjawab apabila beliau (Idris) lepas tangan dengan menyatakan isu itu telah dibawa oleh Ketua Penerangan Umno (Ahmad Shabery Chik), maka beliaulah yang bertangggungjawab," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu.

Katanya Umno tidak perlu bimbang atau takut untuk berdebat mengenai cukai pintu kerana isu itu merupakan cadangan daripada Umno sendiri.

Menurutnya, pertemuan pertama diadakan pada 12 Januari lalu di mana kedua-dua pihak hanya berbincang soal dasar seperti bersetuju debat diadakan selepas Tahun Baru Cina, manakala pemilihan ahli panel dan pengerusi debat akan diputuskan dalam pertemuan kali kedua.

"Saya katakan dalam isu debat ini umpama "bola" berada di kaki Umno, maka dialah yang perlu mengambil inisiatif supaya debat ini menjadi kenyataan," katanya.

Menurut Yahya, dalam pertemuan pertama itu, PAS mencadangkan supaya debat itu diadakan di tempat terbuka seperti di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang boleh menampung jumlah hadirin yang ramai selain ianya lebih selesa.