Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adakah KM P Pinang beli rumahnya di bawah harga pasaran?

Persoalan yang mensasarkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng minggu ini ialah sama ada beliau telah membeli sebuah banglo dua tingkat di Jalan Pinhorn di bawah harga pasaran.

Menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahya, nilai pasaran hartanah itu adalah antara RM6 juta dan RM6.5 juta.

Sekurang-kurangnya dua aduan - di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur - telah dibuat terhadap Lim, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang berkata ia telah menerima aduan mengenai dakwaan tersebut.

Jalan Pinhorn merupakan laluan pendek yang menghubungkan Jalan Hamilton ke Jalan Greenlane (Jalan Masjid Negeri).

Walaupun kedua-dua jalan utama itu sibuk kerana adanya sekolah seperti sekolah terkenal Penang Free School, Green Lane Convent dan Sekolah Tinggi Heng Ee, terletak di sekitar kawasan tersebut, namun Jalan Pinhorn sendiri adalah tenang, dibarisi rumah-rumah setingkat, dua tingkat dan tiga tingkat berserta halaman yang cantik.

Kebanyakan rumah tersebut telah dibina kira-kira 30 tahun yang lalu, dan sejak itu telah melalui banyak pengubahsuaian dan beberapa transaksi jual-beli.

Rumah Lim ialah di No 25, sebuah banglo dua tingkat dengan halaman yang besar di sebalik pintu yang tinggi.

Lim mengambil pinjaman RM2.1 juta dan membayar RM700,000 untuk membeli rumah itu pada 2015.

Setiausaha agung DAP itu berkata rumah banglo tersebut adalah sebuah unit yang biasa tanpa kolam renang.

Malaysiakini telah memperolehi senarai transaksi jual-beli hartanah di Jalan Pinhorn yang menunjukkan kawasan plot banglo dua tingkat yang Lim beli pada harga RM2.8 juta pada 28 Julai 2015, adalah seluas 10,161.13 kaki persegi.

Unit yang sama sebelum ini dijual pada harga RM2.5 juta pada 27 September 2008. Hartanah ini meningkat nilai RM300,000 dalam tempoh tujuh tahun.

Lim menafikan hubungan antara pembelian rumah banglo dengan jualan tanah kerajaan negeri pada 2012 di Taman Manggis kepada pemaju swasta.

'Lokasi utama'

Sebuah hartanah lebih kecil dengan kawasan plot 4,983.690 kaki persegi telah dijual pada harga RM3.6 juta pada 8 Oktober 2014. Ini adalah sebuah unit dua tingkat yang baru diubahsuai.

Salah satu hartanah dengan kawasan plot 5,500.358 kaki persegi telah dijual pada harga RM1.1 juta pada 15 Julai 2011.

Ia dijual lagi setahun kemudian - pada 11 Julai 2012 - pada harga RM1.9 juta, dengan nilainya meningkat RM800,000 dalam masa setahun.

Satu lagi hartanah, dengan kawasan plot 13,040.563 (tiga tingkat) telah dijual pada harga RM2.8 juta pada 25 Julai 2009.

Seawal 27 April 2004, satu hartanah dengan hanya keluasan 6,781.263 kaki persegi, telah dijual pada harga RM2.4 juta.

Pada masa ini, harga yang diminta untuk sebuah banglo lusuh 2.5 tingkat di sekitar kawasan tersebut adalah RM3.36 juta.

Kebanyakan pemaju dan perunding hartanah yang dihubungi Malaysiakini menyifatkan kawasan itu sebagai lokasi utama, walaupun ia tidak seperti plot kediaman lebih mewah di Jesselton Heights, yang terletak berhampiran Waterfall Gardens.

Ketika dihubungi, rakan kongsi kanan Raine Horne International Zaki + Partners Sdn Bhd, Michael Geh berkata Jalan Pinhorn adalah "merupakan sebuah kawasan idaman".

Ditanya sama ada rumah Lim dijual di bawah harga pasaran, Geh enggan menilainya kerana beliau belum melihatnya.

"Kita tidak tahu apa yang ada di dalam untuk mengulas mengenai nilai harta itu.

"Jika anda mahu tahu nilai unit anda, saya perlu bertanya kepada anda berapa banyak bilik tidur anda ada, dan apa jenis pengubahsuaian yang anda telah lakukan ke atas unit itu sebelum saya boleh memutuskan mengenai nilainya," kata konsultan hartanah itu.

{Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS