Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guan Eng enggan bercuti, bidas pengkritiknya
Diterbitkan:  Mar 23, 2016 2:21 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng enggan melayan desakan supaya beliau mengambil cuti sementara menunggu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian sebuah banglo di bawah harga pasaran.

“Saya tidak faham kenapa saya perlu bercuti atas dakwaan palsu ini, malah saya tidak mempunyai pengaruh dan kawalan ke atas siasatan SPRM dan juga Peguam Negara, yang mempunyai kuasa pendakwaan penuh.

“Hanya Perdana Menteri yang mempunyai kuasa ke atas kedua-dua SPRM dan Peguam Negara.

“Sekiranya seorang Menteri Besar atau Ketua Menteri perlu bercuti setiap kali laporan rasuah dikemukakan kepada SPRM, laporan-laporan yang mengarut dan tidak berasas juga boleh dijadikan senjata politik, dan semua orang akan terpaksa bercuti,” katanya dalam satu kenyataan media.

Lim juga mengambil kesempatan pengkritiknya iaitu beberapa individu dari PAS dan Umno yang berterusan menyerang dan mencadangkan supaya beliau pergi bercuti.

Menurutnya, kedua-dua BN dan PAS tidak membuat desakan yang sama kepada Datuk Seri Najib Razak untuk bercuti, ketika perdana menteri didapati memiliki derma RM2.6 bilion di dalam akaun peribadinya.

Lim juga mengingatkan pengkritiknya bagaimana Allahyarham Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah disiasat oleh SPRM atas tuduhan palsu rasuah pada tahun 2009.

“Tiada siapa pun meminta Datuk Seri Nik Aziz bercuti kerana Allahyarham tidak mempunyai kawalan dan kuasa ke atas SPRM, dan dakwaan tersebut juga tidak berasas,” katanya.

Walaupun menyifatkan tuduhan ke atasnya sebagai "konspirasi untuk membunuh karakter serta menghancurkan kerjaya politiknya”, Lim bagaimanapun berikrar akan memberi kerjasama penuh.

“Saya serahkan kepada pihak SPRM untuk menjalankan siasatan dan menggesa mereka suapaya ia dilakukan secepat mungkin supaya nama saya dan nama kerajaan negeri dapat dibersihkan.

“Saya telah menyatakan kesediaan penuh kepada SPRM dan berharap siasatan akan berjalan secara adil, bebas dan profesional,” katanya.

Lim berkata beliau bersedia untuk membincangkan latar dakwaan rasuah terhadapnya bersama pihak-pihak yang bebas dan berkecuali supaya mereka mendapat gambaran sebenar mengenai kes berkenaan.

Beliau juga membidas media berhubung laporan mereka itu.

“Saya menyeru para penyokong supaya bersabar berhadapan serangan-serangan oleh TV3 terhadap saya dengan laporan selama setengah jam setiap malam sambil mengesampingkan skandal rasuah RM100 juta di Kementerian Belia dan Sukan.

“Tidak hairan melihat media Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia yang dikawal BN memburuk-burukkan saya setiap hari. Beberapa akhbar berbahasa Cina juga sedang bertindak seiring dengan media BN.

“Saya percaya bahawa orang ramai tidak begitu mudah percaya dan boleh membezakan kebenaran dan pembohongan dan siapa yang tidak memperjuangkan integriti serta memerangi rasuah,” katanya.

Sementara itu, Lim hanya tersenyum dan 'menutup mulut' ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pemberita yang mengerumuninya dan mengajukan soalan sama ada beliau akan bercuti ketika siasatan SPRM dijalankan hanya mendiamkan diri dan tersenyum sebelum masuk ke dalam keretanya.

Lihat Komen
ADS