Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar berjaya teruskan rayuan qazaf terhadap Saiful

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kini boleh meneruskan semua prosiding rayuan qazaf beliau terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukari Azlan yang tertangguh sejak sekian lama di mahkamah syariah.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim yang diketuai oleh Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur, Datuk Seri Md Yusup Che Teh yang menolak rayuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua yang lain untuk membatalkan semua semakan dan notis rayuan Anwar.

Dalam keputusan sebulat suara, mahkamah memerintahkan kekhilafan Anwar selaku responden dalam rayuannya menamakan bekas Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain dan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali boleh diperbetulkan.

Alasan yang diberikan dalam permohonan yang difailkan pada Mei tahun lalu adalah bahawa Che Mat telah bersara daripada JAWI manakala Shamsuddin telah dipindahkan ke Jabatan Peguam Negara.

Korum hari ini juga dianggotai Hakim Datuk Yusof Musa dan Hakim Mohd Amran Mat Zain.

Mahkamah Rayuan Syariah turut memutuskan, keputusan mahkamah persekutuan pada 10 Februari 2015 yang mengekalkan hukuman bersalah Anwar atas tuduhan meliwat Saiful tidak mengikat mahkhamah syariah kerana kedua-dua mahkamah adalah berbeza.

Qazaf adalah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki.

Jamil Khir, Shamsudin dan Che Mat mengemukakan permohonan bagi membatalkan semua notis rayuan yang difailkan Anwar atas alasan mereka tidak lagi memegang jawatan seperti yang dinamakan dalam rayuan.

Mereka juga mengemukakan alasan, bahawa mahkamah persekutuan pernah mensabitkan Anwar bersalah meliwat Saiful.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS