Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jawatankuasa Transgender Pulau Pinang mengadakan mesyuarat pertamanya di dewan undangan negeri hari ini selepas kira-kira tujuh tahun melobi bagi jawatankuasa itu dibentuk.

Diketuai oleh ADUN DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu sebagai pengerusi sementara jawatankuasa itu, mesyuarat itu membincangkan aktiviti yang akan datang untuk komuniti transgender di negeri ini.

Antara aktiviti termasuk kebajikan yang lebih baik untuk masyarakat terpinggir ini, terutamanya bagaimana individu terbabit dirawat di hospital dan penjara, kata Teh.

Jawatankuasa itu juga akan berkempen untuk tandas berasingan bagi transgender, katanya.

"Saya melihat ini sebagai sebahagian daripada reformasi dewan undangan negeri; kami telah menetapkan keutamaan dalam perjuangan ini," kata Teh kepada Malaysiakini.

Teh berkata jawatankuasa itu - yang dianggap kontroversi - telah bermula selepas tujuh tahun melobi kerajaan Pulau Pinang.

"Tetapi ia berbaloi. Melihat jawatankuasa ini menjadi kenyataan adalah matlamat saya, jadi saya akan berterusan di dalamnya," kata Teh.

Beliau berkata ADUN dari kedua-dua parti politik - BN dan Pakatan Harapan - menyokong penubuhan jawatankuasa itu.

Bagaimanapun, Teh akan menghadapi satu tugas yang bukan mudah apabila mencari pembiayaan untuk aktiviti jawatankuasa itu.

"Saya akan menulis untuk mendapatkan pembiayaan daripada anggota exco kerajaan negeri, ketua menteri dan dua timbalan ketua menteri," kata Teh.

Anggota jawatankuasa itu ialah Lim Siew Kim (DAP-Sungai Pinang), Cheah Kah Peng (PKR-Kebun Bunga), Norlela Ariffin (PKR-Penanti), Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubok), Jahara Hamid (BN-Teluk Ayer Tawar ), Shariful Azhar Othman (BN-Bertam) dan Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua).

ADUN tunggal PAS di Pulau Pinang, Salleh Man, juga diambil sebagai ahli jawatankuasa.

Sementara itu, beberapa ahli-ahli komuniti transgender itu berada di dewan undangan negeri hari ini. Individu-individu ini, di antara mereka ialah ahli-ahli NGO Sisters, yang merupakan tetamu Teh.

Mereka mengedarkan panduan media, termasuk senarai undang-undang yang tidak menyebelahi transgender kepada pemberita.

Ketua Menteri Lim Guan Eng mengalu-alukan mereka hadir ke dewan undangan negeri.

"Ia terpulang kepada Teh atau mana-mana wakil rakyat untuk menjemput mana-mana orang yang difikirkan sesuai untuk menghadiri persidangan dewan undangan Negeri," kata Lim.

Lihat Komen
ADS