Penduduk Jinjang Selatan Tambahan, Kepong hari ini menyampaikan memorandum kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membantah arahan pengosongan kawasan itu selewat-lewatnya 31 Okt ini.

Mereka turut menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Fadlun Mak Ujud, campur tangan bagi menghentikan pengosongan serta mengadakan pertemuan dengan penduduk.

Memorandum itu diserahkan bersama Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan, yang berkata arahan pengosongan tidak sepatutnya diteruskan sebelum isu penduduk diselesaikan.

Menurut Arutchelvan, pihaknya telah beberapa kali menghantar surat kepada DBKL dan kementerian berkaitan bagi memohon pertemuan untuk membincangkan isu itu.

“Mudah sahaja, tarik balik notis, buat perjumpaan. Kita tuntut Menteri YB Hannah Yeoh dan juga Datuk Bandar DBKL untuk pastikan notis ini ditarik balik,” katanya ketika menyerahkan memorandum itu di Menara DBKL 1, Kuala Lumpur.

Arutchelvan berkata isu berkenaan telah berlarutan selama 60 tahun dan penduduk yang telah lama menetap di kawasan itu sepatutnya diberi keutamaan dalam rancangan pembangunan.

Tuntut pampasan setimpal

Sementara itu, penduduk, Saraswathy Krishnasamy, 48, berkata keluarganya telah menetap di kawasan itu sejak empat generasi.

Menurutnya, sebahagian penduduk tanpa Lesen Pendudukan Sementara (TOL) sebelum ini ditawarkan peluang membeli rumah pada harga RM42,000, namun ada yang tercicir daripada senarai.

“Ada yang dapat, ada yang tak dapat.

“Sekarang kita nak harapkan DBKL bagi satu pampasan yang wajar untuk kita yang tinggal sejak tahun 60-an,” katanya.

Aktivis Khidmat Komuniti Kepong, Yee Poh Ping, pula membangkitkan nasib pemilik kedai, bengkel dan kilang yang turut menerima notis pengosongan.

Katanya, penduduk tidak membantah pembangunan di kawasan berkenaan, namun mereka menuntut pampasan yang adil sebelum berpindah.

“Mereka sudah ada di situ sebelum pemaju masuk. Kalau pemaju mahu masuk membangunkan kawasan tersebut, kita tak ada masalah.

“Tapi sebarang pampasan perlu dibayar secara sewajarnya dengan adil,” katanya.

Yee mendakwa terdapat pihak yang hanya ditawarkan pampasan RM5,000, jumlah yang disifatkannya tidak adil berbanding penyelesaian kepada penduduk lain.

Dalam pada itu, Ketua Biro Aduan dan Kebajikan Pusat Parti Rakyat Malaysia (PRM), Lee Hoi Eng, pula menggesa kerajaan memberi perhatian kepada kebajikan penduduk.

Dia berkata penduduk terbabit tidak wajar dianggap sebagai penceroboh kerana sebahagian daripada mereka dan keluarga masing-masing telah menetap di Jinjang sejak beberapa generasi.

Memorandum berkenaan diterima oleh wakil pejabat Hannah dan wakil Jabatan Pentadbiran DBKL.