Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan 1MDB masih OSA, hanya kabinet boleh batalkan - PAC

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin berkata, keputusan untuk mengubah status Laporan Audit 1MDB yang kini diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi hanya akan ditentukan oleh kabinet dan bukan jawatankuasa tersebut.

Menurut Hasan, ia terpulang kepada kabinet untuk memutuskan sama ada mahu membatalkan status laporan tersebut sebagai dokumen rahsia rasmi yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) atau tidak.

"Soal bila nak batalkan (dokumen dibawah) OSA, kerajaan akan tentukan. Terpulang pada kerajaan untuk putuskan.

"Terpulang pada kabinet untuk membuat keputusan terhadap Laporan Audit 1MDB," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Ditanya bila perkara itu akan ditentukan, anggota parlimen Rompin itu berkata:

"Kita akan minta kabinet buat keputusan," katanya ringkas.

Mac lalu, selepas ditangguhkan beberapa kali, laporan akhir siasatan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB diserahkan kepada PAC.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang telah mengklasifikasikan laporan itu bawah Akta Rahsia Rasmi.

Ia diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi berikutan terdapat dakwaan bahawa Laporan Interim Terhadap Pengauditan 1MDB yang dibentangkan kepada PAC Julai lalu dibocorkan pihak tidak bertanggungjawab.

Lihat Komen
ADS