Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco putuskan Guan Eng tak perlu letak jawatan atau bercuti
Diterbitkan:  Jul 4, 2016 3:55 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Exco kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini sebulat suara memutuskan bahawa Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak perlu meletakkan jawatan atau mengambil cuti selepas didakwa dengan dua pertuduhan rasuah pada Khamis lalu.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon pagi ini.

"Saya sendiri yang mencadangkan sedemikian dan ini disokong oleh Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy.

"Kami mempunyai kepercayaan yang penuh terhadap kepimpinan ketua menteri untuk memimpin exco dan kerajaan negeri," kata Rashid kepada media hari ini.

Ramasamy yang turut hadir dalam sidang akhbar itu berkata semua exco sebulat suara menyokong keputusan itu dan memberi kepercayaan kepada Lim untuk terus mentadbir Pulau Pinang.

Katanya, tuduhan terhadap Lim adalah bermotifkan politik.

"Kami percaya dia (Lim) tidak bersalah dan tidak ada keperluan untuknya berundur," katanya.

Pada Khamis lalu, Lim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Turut didakwa bekas pemilik banglo, Phang Li Koon, yang juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Lim bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.

Lim ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rabu lalu di tingkat 28 bangunan Komtar pada jam 5.45 petang, manakala Phang ditahan pada jam 4.15 petang di pejabatnya di Tingkat 6, Penang Garden.

Keputusan exco itu dibuat selepas DAP Pulau Pinang dan jawatankuasa eksekutif pusat parti itu memutuskan bahawa Lim tidak perlu bercuti.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS