Paling Popular
Terkini

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad berkata, beliau berasa rasa hairan berhubung kenyataan Presiden PAS yang menjangka selepas Akta 355 dilaksanakan, orang bukan Islam akan memilih undang-undang syariah Islam.

Katanya, menurut usul persendirian berhubung akta tersebut, undang-undang berkenaan tidak melibatkan masyarakat bukan Islam di negara ini.

Malah, menurut Khalid, usul tersebut juga bertujuan untuk meminda kedudukan mahkamah syariah dalam bidang kuasa berkaitan keluarga dan peribadi seseorang dan bukan melibatkan jenayah.

"Mulanya (usul Akta 355) hanya untuk orang Islam. Jadi, macam mana orang bukan Islam boleh memilihnya?

"Umumnya, dasar itu (usul) nak ubah kedudukan mahkamah syariah bahawa ia masih bidang kuasa umat Islam dalam perkara berkaitan keluarga dan peribadi. Bukan jenayah kerana ia masih di mahkamah sivil.

"Kedudukan mahkamah syariah di sisi Perlembagaan tak berubah kecuali usul (Hadi) bertujuan nak ubah. Sebab ada kawasan penguatkuasaan oleh mahkamah syariah dan ada kawasan penguatkuasaan oleh mahkamah sivil. Ia tak berubah. Ini mengikut usul itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di ibu negara ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan orang bukan Islam akan mula memilih syariah Islam kerana melihat undang-undang itu dijalankan secara adil selepas Akta 355 diperluaskan dan dilaksanakan.

Anggota Parlimen Marang itu juga berkata, situasi itu sangat turut digeruni oleh mereka yang membantah rang undang-undang ahli persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) yang juga dikenali sebagai Akta 355, bagi memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah.

Sehubungan itu, Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam turut mempersoalkan jangkaan Abdul Hadi berkenaan memandangkan PAS kini dilihat semakin dijauhi oleh masyarakat bukan Islam.

"Ramalan bahawa apabila diluluskan (Akta 355, orang bukan Islam pilih syariah Islam), itu benda pelik. Saya tak tahu dia dapat benda ini dari kajian mana.

"Dengan masyarakat bukan Islam pun sokongan pada PAS menguncup. Apa berlaku di Sungai Besar dan Kuala Kangsar jelas membuktikan PAS tak dapat sokongan bukan Islam.

"Sekarang orang bukan Islam lari dari PAS," katanya lagi.

Sementara itu, beberapa pemimpin Pakatan Harapan hari ini bertemu dengan Duta Besar Turki, Basak Turkoglu di Kedutaan Turki bagi menyatakan solidariti mereka kepada kerajaan dan rakyat negara berkenaan.

Antara pemimpin Harapan yang hadir ialah Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar serta Naib Presiden DAP, Teresa Kok.

Perjumpaan itu juga bagi menyatakan penolakan sebarang cubaan rampasan kuasa tanpa melalui saluran demokrasi.

Lihat Komen
ADS