Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Cubaan mempertahankan Datuk Seri Najib Razak berhubng dakwaan skandal 1MDB di kalangan dalam Umno kini mencapai tahap tidak dapat diterima akal, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Bercakap kepada media bekas perdana menteri itu berkata apabila beliau mendakwa pihak terbabit sebenarnya sedang mengampu Najib, mereka sebaliknya "menjerit" dan tidak mampu menjawab siapakan individu dirujuk sebagai Malaysian Official 1 (MO1) dinyatakan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS.

"Sekarang ada laporan DOJ Amerika membuat tuduhan, kenyataan bahawa banyak wang 1MDB diseleweng anak tiri Najib dan juga kawannya Jho Low dan seorang yang dipanggil MO1.

"Ini jadi satu masalah sebab ada yang kata MO1 adalah Yang di-Pertuan Agong.

"Jadi, (adakah) anak tiri Yang di-Pertuan Agong (adalah) Riza Aziz?" tanya Dr Mahathir.

Justeru katanya keadaan sekadang jelas bahawa dalam usaha pihak tertentu mahu mengambil hati Najib mereka membuat tuduhan yang tidak masuk akal langsung.

"Jelas sekali bahawa dalam usaha nak ambil hati, nak ampu - dapat dedak mungkin - mereka buat tuduhan yang tidak masuk akal sama sekali.

"Apabila disebut perkara ini, saya dapati pengikut Najib menjerit tapi depa (mereka) tak boleh jawab (siapakah orang dirujuk sebagai MO1)," katanya.

Dakwa berdasarkan perlembagaan

Seperti selalu Dr Mahathir menyasarkan Najib dan mengaitkannya dengan skandal syarikat pelaburan milik negara - 1MDB - dalam kempennya mengetepikan perdana menteri.

Ketika sebahagian daripada pemimpin Umno menafikan MO1 adalah perdana menteri, sebahagian yang lain mengesahkannya namun menegaskan Najib tidak terbabit dalam salah laku pengurusan 1MDB.

Beberapa hari lalu Anggota Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad - melalui media sosial - 'mencadangkan' orang yang dirujuk sebagai MO1 itu adalah Yang di-Pertuan Agong berdasarkan kedudukan perlembagaan negara.

Dalam tulisannya di Facebook, yang disunting empat jam kemudian, Nawawi berkata Agong adalah orang yang bertanggungjawab terhadap kerajaan.

"Maka, mengikut perlembagaan, MO1 ialah Agong," katanya.

Nawawi kemudian menjelaskan status kontroversinya mengenai Agong tiada kaitan dengan saman sivil DOJ.

Katanya ada dua perkara yang berbeza dalam hal itu kerana DOJ menyebut MO1 ialah Malaysian Official One, manakala beliau menyebut Malaysia Official Number One.

Bagaimanapun pada 20 Ogos lalu Sinar Harian melaporkan Nawawi berkata beliau hanya akan memohon keampunan jika dititahkan oleh Agong - yang juga Sultan Kedah ketika ini.

Bagaimanapun, Nawawi berharap beliau tidak perlu berbuat demikian.

"Kalau nak mohon maaf, saya mestilah bersalah. Tapi dalam kes ini saya tidak bersalah, saya nak mohon maaf buat apa," katanya.

Dr Mahathir berkata keengganan pemimpin Umno bertindak terhadap kritikan dan dakwaan ke atas Najib adalah antara faktor yang akhirnya mendorong pembentukan parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun berkata BERSATU ditubuhkan hanya selepas pimpinannya mendapati tiada lagi ruang untuk melakukan reformasi dari dalam Umno.

Turut hadir di sidang media di bangunan Persatuan Alumni Universiti Malaya itu, presiden penaja BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin dan lima ahli jawatankuasanya.

Lihat Komen
ADS