Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebuah wacana yang diadakan untuk 'mencari' kedudukan Malayu dalam politik berakhir dengan tanda tanya tanpa jawapan apabila panelis jemputan dilihat beretorik atau mengulang hujah lama.

Bertajuk Politik Malaysia: Di Mana Melayu diadakan di Shah Alam itu menampilkan panelis daripada parti pembangkang dan Umno.

Mereka ialah Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Shazni Munir Mohd Ithnin, Ketua Penerangan Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Razlan Rafii, Senator Siti Aishah Shaik Ismail (PKR) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

Nazri Kahar pula bertindak sebagai moderator.

Dalam wacana itu, Ahmad Fadhli berkata Islam membenarkan perjuangan menguatkan bangsa selagi tidak menzalimi bangsa lain.

Bagaimanapun katanya amat malang dan memalukan sekiranya pemimpin sesebuah negara menindas rakyatnya sendiri.

“Kita cuba melihat perjuangan menguatkan bangsa ini tidak dilarang dalam Islam tetapi syaratnya tidak menzalimi dan menindas hak-hak bangsa yang lain.

“Perjuangan untuk menegakkan ketuanan bangsa, bukan meletakkan bangsa sendiri menjadi pemerintah tetapi mereka sendiri yang menindas bangsa mereka sendiri, (itu) perkara yang amat malang.

“Menegakkan ketuanan kehebatan bangsa dalam skop saling tolong menolong antara satu sama lain dibenarkan dalam islam,” katanya.

Bagi Razlan (gambar) pula berkata, perjuangan membela bangsa Melayu adalah dengan memperjuangkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan harus diteruskan sampai bila-bila.

Katanya, hak keistimewaan orang Melayu wajar diteruskan bagi membantu bangsa itu untuk terus maju.

“Ini perjuangan kita, kita kena teruskan dan tidak boleh berhenti. Sampai bila kita berhenti? (Apabila) DEB mencapai 30 peratus.

“Ini negara kita, jadi nak bicarakan perjuangan bangsa Melayu, hak keistimewaan tidak perlu pertikaikan dan bagi orang Melayu kuasa dan hak istimewanya sampai bila-bila,” tegasnya.

Guna meraih undi

Selain itu, Siti Aishah pula berkata, orang Melayu tidak boleh maju kerana sering dimomokkan dengan ‘Melayuphobia’ iaitu penyakit takutkan banyak perkara yang tidak jelas.

Antaranya kata Siti Aishah mengenai isu maruah dan sensitiviti agama yang dibangkitkan sesetengah pihak semata-mata bagi meraih undi.

“Ada banyak perkara orang Melayu dimomokkan dan ditakutkan. Sinonimnya, orang Melayu paling sensitif apabila bercakap soal bangsa, maruah tapi sesetengah manusia menggunakan bangsanya untuk meraih undi.

“Kita lihat bagaimana Melayu di ceruk rantau sana apabila nak buat perubahan kepada diri, keluarga serta bangsa dan negara, mereka ditakutkan supaya tak buat perubahan,” katanya.

Sementara tu, Syed Saddiq pula berkata identiti Melayu pada ketika ini perlu dipulihkan memandangkan orang Melayu sudah malu untuk menggelarkan diri mereka sebagai bangsa Melayu.

Katanya, bangsa Melayu sendiri kini dipandang negatif walaupun keburukan hanya dilakukan oleh segelintir orang Melayu saja.

"Saya sedih kerana di mana Melayu sering dikaitkan dengan budaya rasuah, Melayu layu dan pelbagai lagi tanggapan stereotaip yang menjatuhkan maruah Melayu di Malaysia.

"Melayu sering dilabel sebagai korupsi, mesti dapat pertolongan (untuk maju), tidak boleh berdikari dan lain-lain," katanya.

Jelasnya, bagi mengelakkan persepsi itu terus berlaku, Syed Saddiq percaya suatu fenomena atau suasana politik baru perlu diwujudkan.

"Kita perlu wujudkan suatu fasa atau fenomena, situasi politik baru yang mana mereka mahu mengekalkan identiti Melayu tetapi pada masa sama ingin mereformasikan demokrasi institusi negara," katanya.

Wacana itu berlangsung di Kompleks Media Karangkraf hari ini.

Kira-kira 100 orang hadirin hadir menonton perbincangan berkenaan.

Lihat Komen
ADS