Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Disoal SPRM berjam-jam, tapi habuk pun tak ada'
Diterbitkan:  Aug 30, 2016 9:29 AM
Dikemaskini: 1:33 AM

Tindakan demi tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akhir-akhir ini, daripada tangkapan individu bergelar Datuk Seri kepada Tan Sri, tertanya tidak memuaskan hati semua pihak.

Bagi bekas pemimpin akar umbi Umno Khairuddin Abu Hassan, suruhanjaya itu hanya “jaguh” untuk kes-kes kecil tetapi tidak berani menyentuh pemimpin utama negara Datuk Seri Najib Razak.

“SPRM kelihatan amalkan pilih-kasih!

“Selagi SPRM tidak bertindak terhadap Najib Razak yang membabitkan sejumlah duit yang amat besar masuk ke dalam akaun peribadinya; selagi itulah kredibiliti SPRM akan tercalar,” katanya.

Beliau membangkitkan laporannya pada SPRM berkaitan dakwaan berbilion-bilion wang dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

“Saya nak tanya ketua pesuruhjaya SPRM yang baru mengenai status laporan saya terhadap syarikat 1MDB dan Najib Tun Razak. Apa sudah jadi?” soalnya lagi.

Sementara itu, beliau juga membangkitkan dakwaan terbaru Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa hampir RM1 bilion telah berada dalam akaun bank peribadi Najib sebelum kemasukan RM2.6 bilion dilapor secara meluas.

“SPRM wajib siasat kes pendedahan terbaru Tan Sri Muhyiddin ini. Mantan timbalan perdana menteri ini mesti dipanggil oleh SPRM untuk soal siasat.

“Begitu juga dengan mantan peguam negara (yang didakwa salurkan maklumat itu) pun sepatutnya disoal siasat oleh SPRM.

“Saya rasa buang masa saja buat laporan pada SPRM mengenai kes salah guna kuasa Najib Tun Razak.

“Pergi ke ibu pejabat SPRM berjam-jam disoal siasat tapi habuk pun tak ada!” katanya.

Lihat Komen
ADS